IBKG
Rumah Tentang IBKG

Jan 13, 2015

KPOP: Apa Masalah Sebenarnya Ni?



Isu KPOP dan tudung sudah pun surut.

Maka, saya pun terpanggil untuk melontarkan pendapat yang tak popular ini.

Kenal tak mamat ni? Dia ada buat vlog.
Untuk isu ini, saya nampak dua masalah besar yang ramai orang alami. Pertama, masalah hedonisme. Suka berhibur berlebihan. Kedua, yang saya kira lebih teruk adalah mencaci dan menghina si pelaku salah. Seolah-olah merasa diri lebih baik. Seolah diri mereka tiada salah.

Bagi saya, masalah tak akan selesai dengan menghamburkan kata-kata keji pada mereka yang terlanjur bermesra dengan orang yang tidak sepatutnya itu. Ya, apa yang mereka buat itu salah. Namun, kata-kata keji dan kotor juga adalah perbuatan yang salah.

Jika mereka memang rasa bersalah, maka akan menambah lagi rasa bersalah dalam diri. Tapi andai mereka berbangga, maka akan menambah lagi rasa bangga mereka. Serius, bila ketagih ni, cakap perbuatan itu haram pun, ianya masih tidak dapat menyusup ke dalam sanubari. Hati rasa kebal dari nasihat.

Di sini saya ingin kongsikan pengalaman saya dengan hedonisme. Ok, tidak la hedonisme mana pun. Hanya pada paras minima. Namun, pengalaman tetap pengalaman. Saya pun ada masa di mana saya begitu ketagih dengan musik (JPOP secara spesifik) dan video game sehingga terplay lagu-lagu dalam minda saya dan terfikir strategi nak kalahkan boss game ketika sedang solat.

Boleh dikatakan sepanjang masa juga minda saya disibukkan dengan perkara-perkara itu, hatta ketika ingin tidur sekalipun. Sehinggakan, apabila menerima teguran secara langsung atau tidak langsung, hati saya menepis semua teguran itu. Saya tidak dapat terima apabila orang menghalang mendengar lagu dengan berlebihan, kerana semua itu adalah sangat penting bagi saya.

Saya alhamdulillah tak sempat layan KPOP, dan walaupun disajikan sekarang, saya tak dapat nak rasa ketagih untuk ingin disajikan lagi dan lagi. Tapi saya faham sedikit apa yang sedang dilalui mereka yang ketagih dengannya. Dan ketagihan ini adalah sesuatu yang sangat sukar untuk ditinggalkan. Namun, ianya tidak mustahil.

Sekarang ini memang banyak betul orang buat dakwah dengan sentap menyentap. Jadi, sekiranya anda seperti saya yang tidak gemar dan tidak dapat terima sangat sentapan rohani, saya ingin berikan anda alternatif untuk mendengar teguran dengan pendekatan yang berbeza.

Saya ingin mula dengan menceritakan pengalaman saya sendiri disentuh cahaya hidayah dari Allah. Saya sendiri tak pasti kenapa ramai orang suka berdakwah dengan cara yang kasar dan keras. Mungkin mereka pun mendapat cahaya Islam dengan cara yang sebegitu.

Tapi saya tidak. Saya mendapatnya dengan begitu lunak, sehingga hati saya mudah menjadi jinak. Mungkin disebabkan itu, saya tidak percaya dengan pendekatan dakwah tembak-tembak. Apabila membaca kisah nabi menyantuni pendosa pun, hati boleh menjadi sebak.

Disentuh cahaya hidayah adalah satu pengalaman yang sangat indah, dan kenikmatan yang sangat tinggi sehingga membuatkan kita rasa tiada nikmat yang lebih tinggi. Setelah mendapat hidayah, hati kita akan rasa ingin menebus kembali segala silap dan salah, hingga cinta kita yang utama adalah cinta pada Allah.


Jadi, apa yang boleh saya katakan di sini, masalah sebenarnya di sini bukanlah KPOP. KPOP adalah antara cabang daripada masalah yang sebenar. Ia adalah trend semasa yang kemungkinan di lain waktu akan diganti dengan trend yang lain. Apabila KPOP dah lapuk, kemungkinan akan diganti pula dengan KEPUK atau KARIPOP.

Masalah yang lebih besar adalah hedonisme secara umum, dan masalah ketagihan pada perkara dunia disebabkan jiwa yang kekosongan. Lumrahnya manusia ni, kita sering mencari-cari sesuatu untuk diisikan ke dalam jiwa kita. Jadi, apabila kita tidak isi dengan sesuatu yang besar, akan ada anasir-anasir lain yang cuba mengisikan sesuatu ke dalam jiwa kita. Malang apabila diisi dengan kekotoran.

InsyaAllah, apabila kekosongan itu terisi dengan ingatan dan cinta pada Tuhan, kita akan dibebaskan daripada ketagih hiburan kepada ketagih kehambaan pada Tuhan. Ok, bunyi macam pelik sikit kan. Tapi anda faham apa yang saya nak sampaikan.

Saya kira, bila generasi kita minat KPOP, JB (Johor Bahru?), M&M, Satu Arah, dan yang sama arah dengannya, adalah perkara biasa. (Ha, jangan cuba-cuba nak quote saya sampai situ je ok.) Tapi ianya adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang biasa. Maka, sentiasalah berdoa agar cahaya hidayah itu meresap ke dalam hati kita semua.

Percayalah, apabila kita sudah merasa nikmatnya hidayah, tiada benda lain yang boleh menandingi kenikmatan tersebut. Walaupun kita tergelincir semula, pasti kita sentiasa akan tetap merindui perasaan disentuh dengan hidayah. Walau kita teramalkan semula amalan jahiliyah kita, kita tidak dapat menafikan bahawa keseronokan jahiliyah itu sememangnya tidak sama tarafnya dengan kebahagiaan jiwa kita mendapat hidayah.

Banyak lagi saya rasa perlu dihuraikan. Kerana saya tak rasa post yang sebegini sedikit mampu membuat banyak perubahan. Namun, saya takut semua orang mati kebosanan. Jadi, izinkan saya habiskan post kali ini dengan secebis ayat Al-Quran.

Dan siapakah yang lebih baik agamanya dari pada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang diapun mengerjakan kebaikan, dan ia mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayanganNya.

An-Nisa : 125

p.s. Saya tak tinggi, tak gelap, dan tak hensem.

#daripendosakepadapendosa #taksemuabendatuilluminati #jangannakkpopsangatk #elehakupundahnampakmacamkpop #kecohpulak #okbai

3 comments: