May 23, 2016

Pengumuman Tergempar Abad Ini!



InsyaAllah, saya memutuskan untuk tidak menulis lagi di blog ini. Kiranya, ini adalah post saya yang terakhir. Pun begitu, saya tidak akan buang blog ini. Biarlah ia memberi manfaat selagi mana ia boleh. Kemudian, saya teruskan menulis di blog baru.

Blog ini akan menjadi nostalgia dan rujukan buat saya pada hari-hari mendatang. Walaupun tidak banyak yang saya coretkan di sini, ia sangat bermakna buat diri saya, dan membantu dalam perkembangan diri saya.

Jemput singgah ke blog saya yang baru, ikramnoor.wordpress.com. (Blog masih dalam pembikinan. Alhamdulillah, post pertama telah pun dijadualkan untuk terbit pada pukul 9.00 malam bertarikh 30/05/2016.)

Salam perjuangan!

May 22, 2016

Contohi Iklan Thailand



“Aku rasa lepas ni tak nak join usrah la”

“Hmm… Boleh aku tahu kenapa?”

“Kat usrah tu diorang tak habis-habis ulang benda sama je. Tak banyak pengisian yang menyentuh hati. Alih-alih sebut pasal kena join usrah dengan kena bawak usrah. Bosan la. Aku pergi ceramah agama lagi banyak benda aku dapat.”

Itu luahan dari seorang sahabat kepada saya dan saya tidak menyalahkan dia kerana saya pun selalu merasakan perkara yang sama. Namun, saya tidak meluahkan pada orang tentangnya.

Biasa kan kita tengok iklan yang agak terdesak mempromosi produk mereka sehingga kita pun rasa meluat melihat iklan-iklan itu? Tak pun apabila sesetengah figura di Facebook yang kita sudah lama follow kerana penulisannya, tiba-tiba banyak pula iklan yang diletak di timelinenya. Kita rasa kurang senang. Rasa seperti ada sesuatu yang dipaksakan ke atas diri kita sedangkan kita tidak mahu ambil tahu tentangnya.

Touching bro! [Video]

Tapi tunggu. Lihat pula iklan-iklan Thailand yang viral semenjak dua menjak ini. Biasanya iklan yang mencari orang. Tetapi dalam kes ini, orang yang mencari iklan mereka. Bagaimana boleh jadi begitu? Apa bezanya iklan Thailand dengan iklan lain?

Iklan mereka lebih mementingkan mesej berbanding produk. Mereka lebih fokuskan kepada rasa dan fikir yang mereka ingin ketengahkan kepada audiens, bukannya mengetengahkan apa kelebihan produk mereka, seperti banyak iklan lakukan.

Seperti itu juga kita patut fikirkan tentang usrah. Usrah itu hanyalah sebuah produk yang dihasilkan oleh pendakwah Islam, seperti mana terhasilnya produk seperti ceramah, kuliah, daurah dan sebagainya. Ia bukanlah mesej, bukanlah isi Islam itu sendiri. Islam itu sendiri adalah mesejnya, isinya. Pengabdian diri pada Allah, pemurnian aqidah, penyucian jiwa, penyempurnaan akhlak, itulah intipati yang kita mahu sampaikan kepada manusia.

Andai kita betul fokus dan ikhlas menyentuh hati manusia, insyaAllah manusia itu pun terasa mahu menyentuh hati orang lain, tanpa perlu disuruh pun. Bayangkan, jika kita jumpa kedai makan yang sedap, sudah pasti kita juga akan mempromosikannya kepada kawan-kawan kita tanpa perlu kedai makan itu menyuruh kita buat promosi.

Usrah itu alat dan Islam itu matlamat. Maka lebihkanlah matlamat berbanding alat, moga manusia lebih mudah terlekat.

May 12, 2016

Jalan yang Kau Pilih vs Jalan Yang Allah Tunjuk



Saya mungkin tak pernah jaja diri saya sebagai seorang pereka grafik di media sosial (rasanya la), tak pernah showcase design saya secara umum, dan kadang-kala ada juga kerja design yang saya tolak dek kerana rasa kurang bersedia untuk ambil job design yang banyak.

Pun begitu, kenalan yang terdekat ramai juga yang nampak saya sebagai seorang pereka grafik, walaupun rekaan grafik saya boleh dikatakan masih cikai. Tak banyak artwork saya yang saya boleh tunjuk dengan rasa bangga. (Bagusla tu. Tak baik tau bangga diri). Sekarang, saya sedang intern di Iman Shoppe dan buat kerja berkaitan grafik dan marketing.

Eh, dulu cakap nak belajar sampai PhD, lepas tu belajar engineering tak habis, lepas tu tukar course cakap nak jadi filmmaker, sekarang ni tiba-tiba jadi graphic designer pulak? Kau nak jadi apa ni? Ce cerita sikit.

Sekarang bila orang tanya perancangan saya, saya dengan mudahnya terkelu, kerana dah banyak kali apa yang saya cakap dulu, sekarang ni jadi lain. Kalau cakap sekarang pun, takut jadi lain juga nanti. Mungkin kerana perancangan saya tak cukup solid. Mungkin juga kerana Allah ada perancangan yang lebih baik untuk saya.

Apabila jalan ini bercabang [Gambar]

InsyaAllah, apa yang saya rancang itu masih tidak terpadam dalam semangat dan jiwa saya. Cumanya, sekarang ni agak banyak kesulitan dalam hidup yang saya hadapi (terutamanya kewangan), dan ada perkara yang perlu saya selesaikan sebelum saya kembali ke gelanggang sebenar yang diidami. Kalau tak dalam beberapa tahun lagi, mungkin tua bangka nanti kot baru kembali. Haha. Mohon doa semua ya.

Lucu jugak sebenarnya kerana saya sering katakan pada diri saya yang saya tak mahu kerja sebagai graphic designer, dan ada kerja-kerja yang saya elak supaya lepas ni orang tak cari saya untuk kerja design. Tup tap tup tap, terjadi jugak. Macam graphic design ni pulak yang cari saya.

Waktu ni, rasanya memang boleh tembak ayat Quran 2:216 dekat diri sendiri pakai senapang gajah. Boleh jadi benda yang kita tak suka tu baik untuk kita, tapi benda yang kita suka tu tak baik untuk kita.

Ada lagi benda nak cerita. Tapi cukup dulu kot setakat ni. Akhir kata, apa pun yang kita rancang, rancanglah dengan sebaiknya. Tapi kalau perancangan tu tak menjadi, dan jadi jauh lagi teruk dari apa yang kita rancang, usah gusar.

Ada kalanya, Allah mahu iman kita itu membumi benar di dalam hati, bukan sekadar berbunyi di celah-celah gigi. Ada ketika, Allah hanya mahu kita kembali merintih dan berdoa, bergantung harap hanya kepada Dia dan Dia sahaja.

Alhamdulillah, jika saya tak berada dalam situasi sekarang, mungkin saya tak dapat merasai erti tawakal seperti yang saya rasai sekarang. Kemungkinan ini yang terbaik buat saya pada masa ini.

Kepada mereka-mereka di luar sana yang menghadapi masalah dan tekanan hidup yang berat, moga beban anda diringankan, dan ditemukan jalan keluar dan kemudian masuk pula kepada takdir yang lebih baik.

“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan ada kemudahan.”
Al-Insyirah 5-6

Bak kata Ustaz Hasrizal, percaya dan berjaya!

p.s. Tolong jangan pm saya untuk offer job design free. Hewhew.

Mar 14, 2016

Hah! Dah Straight A's tu Pergila Jadi Astronot!



Rasanya saya tak pernah cakap tentang perkara ni. Jadi saya rasa ini adalah masa yang terbaik untuk bercakap tentangnya.



Baik, ini adalah result saya. Kenapa saya tunjuk result saya? Ada sebabnya. Tapi sebelum tu, kita kena dengar sikit saya bercerita. Untuk pengetahuan anda semua penduduk bumi (ceh, ada gaya astronot ni cakap pasal bumi), saya adalah bekas pelajar kejuruteraan elektrik dan sekarang menuntut ilmu dalam bidang multimedia kreatif.

Tapi tu cerita sekarang. Now, we want to talk a bit about the past. Ha, power tak English aku? Haha. Ok, jadi kebiasaan di MRSM, sebelum kitorang ambil peperiksaan SPM, kitorang dah dapat peluang untuk memohon pinjaman bersyarat dari MARA untuk melanjutkan pelajaran ke bidang mana yang kami mahu. (Polisi MARA sekarang saya tak tahu pulak macam mana). Waktu itu, kami perlu bergantung pada result peperiksaan percubaan MARA untuk memudahkan kami menerima pinjaman. Pengambilan pelajar pulak biasanya akan dibuat sebelum result SPM keluar.

Waktu tu, result trial saya agak ok la. Mungkin gred-gred dia kurang sikit daripada result SPM ni. Tapi, dari segi kekuatan di mana tu tetap sama. Matematik, Matematik Tambahan, Fizik dan Kimia. Dengan kepakaran saya waktu tu untuk main aci redah je, saya pun menentukan bidang yang saya ingin terokai dengan melihat subjek apa yang saya kuat. Eh, macam mana anda tahu saya pilih kejuruteraan? Memahami betul.

Setelah itu, datanglah suatu detik kelam dalam hidup saya...

Tamat. Haha. Pasal tu, kita cerita lain kali. Apa yang nak saya kongsi di sini ialah, bidang yang saya sedang tuju sekarang ini, iaitu bidang seni, adalah bidang yang saya lemah ketika di sekolah dahulu. Kalau tengok dalam report card sekolah, kebiasaannya semua subjek akan dapat A atau B, tapi bila subjek seni, confirm C.

Tapi, bidang yang saya lemah dulu ni la yang saya betul-betul ingin ceburi sekarang dan sanggup menghabiskan masa dan tenaga untuknya. Hatta, sewaktu belajar kejuruteraan lagi saya sudah habiskan banyak masa mendalami ilmu-ilmu multimedia kreatif ini. Belajar sedikit tentang kamera, visual effects, animasi, video dan sebagainya.

Sebenarnya banyak sahaja cerita yang kita dengar sekarang, mereka-mereka yang bekerja dalam bidang lain daripada bidang yang mereka belajar. Ada yang sudah grad Engineering, pergi ke bidang lakonan. Ada yang sudah boleh jadi doktor, tapi dia nak jadi astronot. Ada yang boleh jadi pakar ekonomi, tapi dia lagi suka jadi pakar makanan.

Nak katakan di sini, kekuatan akademik kita itu tak semestinya menjadi sesuatu yang kita ingin ceburi di masa hadapan. Kita mungkin mempunyai pengetahuan yang luas tentangnya, namun andai tidak minat, sukar untuk kita pergi jauh. Lain pula ceritanya andai kita minat sesuatu, tapi pada awalnya kita tidak begitu mahir mengenainya, pasti kita akan cari juga jalan untuk menguasainya.

Untuk lepasan-lepasan SPM, semoga dipermudahkan jalan untuk memahami apa yang anda mahu lakukan pada masa hadapan. Jangan biarkan result anda yang menentukan bidang mana yang anda akan tuju, tapi biarlah result itu disimpan buat koleksi nostalgia di rumah sahaja. Eh, biarlah anda sendiri yang menentukan ke mana anda akan pergi.

Akhir kata, dunia itu sangat luas. Jadi, terokailah pelbagai selok-belok dan liku-likunya. Makin banyak kita teroka, makin kita nampak tentang bagaimana kita mahu melakar masa hadapan. Tapi ingat, sehebat mana pun kita merancang, ada Perancang yang lebih hebat mengatur hidup kita. Andai apa yang kita rancang tidak menjadi, jangan risau. Rancangan hidup ni bukan macam rancangan TV. Ada penamat. Rancangan hidup ni kita masih boleh buat sampai kita nak mati pun.

Tapi, kalau anda dah dapat straight A's tu, hah pergila jadi astronot. Terokai dunia yang jauh lebih luas dan bawalah perubahan pada dunia.


p.s. Taktau kenapa tiba-tiba astronot jadi mangsa. Saja nak eksploitasi untuk tajuk kot. Maafkan saya astronot sekalian. Ekeke