May 14, 2014

Ujian Untukku Tak Semestinya Ujian Untukmu



Pernah tak kita terfikir, kenapa kita dapat ujian macam ni? Kenapa tak dapat ujian macam tu?

"Kenapa Allah tak uji aku dengan kehilangan duit? Aku mampu je sabar kalau duit hilang."

"Kenapa Allah uji aku dengan patah kaki? Patah tangan cukupla."

Kenapa selalu kena rijek je ni? Adoi... [Gambar]

Macam waktu sekolah dulu, ada murid yang cemerlang dalam ujian ketahanan, mungkin tidak cemerlang dalam peperiksaan. Begitu juga yang cemerlang dalam peperiksaan, mungkin tidak cemerlang dalam ujian ketahanan. Mungkin ada juga yang cemerlang kedua-duanya, tapi hidup dalam keluarga yang susah. Mungkin ada yang tidak cemerlang apa-apa, tapi hidupnya bebas dari masalah.

Lain orang lain keadaan dia. Ada yang bertuah dekat bahagian ni, tapi berjebat tidak bertuah pada bahagian itu. Sama juga macam ujian. Setiap orang ada ujian masing-masing. Ujian untuk kita tak semestinya ujian untuk dia. Ujian untuk dia tak semestinya ujian untuk abang kita. Ujian untuk sepupu kita tak semestinya ujian untuk kawan adik kita. Begitulah alkisahnya ujian.

Ada orang mungkin apabila berhadapan dengan ujian ikhtilat, dia dengan begitu mudahnya mengelat. Tapi orang lain yang juga diuji dengan ikhtilat, mungkin dengan mudahnya dia terjerat. Kemampuan kita tak sama. Kekuatan kita berbeza. Maka, ujian yang datang juga mestilah ada pelbagai bentuk dan perisa. Namun, semua kita diuji atas tujuan yang sama. Untuk menguji iman di dada.

Ujian apa yang kita sedang lalui sekarang, itulah ujian untuk kita. Tak perlu ditanya mengapa. Mengapa diberi yang sangat susah? Mengapa matematik tambahan pun kelihatan lebih mudah? Kenapa semuanya nampak tersangatlah payah?

Dah namanya ujian, pastilah ianya membuat kita rasa berat. Apa yang kita rasa ringan bukanlah suatu ujian. Dan ujian ini, pastilah ada paras kesukaran yang tertentu untuk memastikan kualiti lepasan ujian itu tarafnya berbintang-bintang. Sewaktu tadika, ujian mestilah pada taraf tadika. Di universiti pula, kualiti graduan yang terlahir sedikit sebanyak dipengaruhi juga oleh kesukaran peperiksaan yang diberikan. Maka, semakin kita besar, semakin kita perlu meningkatkan kualiti diri untuk melepasi peringkat yang lebih tinggi dalam kehidupan.

Tapi jangan lupa, ujian yang kita lalui sekarang ini, sesusah mana pun kita merasainya, pasti ada orang yang tak nampaknya sebagai ujian pun. Mungkin kita punyalah payah nak fikirkan penyelesaian untuk masalah yang kita hadapi, tapi ada orang senang-senang je bagi kita penyelesaiannya. Jadi, dalam menghadapi ujian dan masalah yang menimpa, carilah orang yang kita percayai boleh menunjukkan jalan yang mungkin kita tak pernah terfikir pun untuk melaluinya dan mungkin tak pernah terbayang pun adanya jalan itu.

...Barangsiapa bertakwa kepada Allah
niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.
Dan memberinya rezeki dari
arah yang tiada disangka-sangkanya.
Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah
niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.
Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya.
Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

At-Talaq: 2-3

Kehidupan ini sebuah perjalanan. Sepanjang perjalanan ini, pastinya kita akan ditimpa dengan bermacam-macam ujian. Ujian yang ditimpa tidak pula melebihi kita punya ruang kemampuan. Mengharaplah pada Tuhan, moga-moga dia sentiasa memberikan pertolongan.


May 12, 2014

Alergik Dengan Politik?



Nampak tak permainan dia? Ya, apabila kita nampak permainan politik di bumi Malaysia yang tercinta ini, kita akan mudah rasa mual, menyampah, mungkin juga rasa alergik. Sebenarnya bukan di Malaysia sahaja. Sehebat mana pun kita lihat negara-negara di dunia ini, pasti terdapat perkara yang tidak enak dalam hal politiknya.

Tahun ini, bagi saya, bermacam-macam hal politikus yang membuat penat fikiran yang sudah sedia berselirat. Hari tu Kajang Move, hari ni Ganu Move. Hari tu PR serabut, hari ni BN kelam kelibut. Hari tu isu kewangan, hari ni isu perkauman. Hari ni saya sekadar menyebut beberapa isu yang panas diperkatakan di laman sosial dan juga sesawang.

Nak termuntah aku [Gambar]

Jadi, apa masalahnya dengan politik kita?

Pemimpin pecah amanah? Benda biasa. Amalan rasuah? Itu dah semestinya. Guna kuasa secara salah? Chill la der. Hal ini buatkan ramai yang tak mahu ambil tahu tentang hal politik negara, sehingga membuatkan mereka alergiklah juga. Akhirnya, jadilah kita orang yang tidak kritikal fikirannya dan memilih untuk mahu lepak-lepak saja.

Benar, politik kita sudah kotor. Ibarat bermain dengan lumpur. Segalanya nampak kabur. Tak pasti boleh bersih atau tak kalau ditabur dengan peluntur.

Bila dilihat, macam payah sangat kan nak jadikan Malaysia ni aman? Aman dari pergaduhan, aman dari persengketaan, aman dari perbalahan. Budak-budak sekolah bergaduh sesama bangsa, ahli politik bersengketa sesama mereka, malah ada pula jemaah Islam yang tak melepaskan peluang berbalah sama.

Ini namanya tidak aman dari segi perasaan. Payah benar kita mahu menghargai sesama kita, biar berlainan bangsa mahupun yang sama. Payah benar kita ingin memandang orang lain dengan pandangan kasih sayang, malah kita memandang dengan perasaan kesumat dan dendam. Mungkin dari luaran, kelihatan kita tidak terlalu bercakaran, tapi dalaman itu, penuh dengan peperangan di alam bayangan.

Tengok tu, daripada nak sembang pasal politik, masuk pulak isu aman, perpaduan, percintaan (aik?). Kenapa? Kerana dari isu-isu politik itu, ia sebenarnya memberi kesan kepada setiap dari diri kita. Sama ada kita kisah atau tidak kisah dengan politik, akhirnya politik akan kisah juga dengan kita semua.

Jadi, sebab itulah adanya kita. Ya, kita. Generasi baru harapan negara. Tidak kisah kita Melayu, kita Cina, kita India, kita Iban, kita Kadazan, kita semua adalah pengubah Malaysia di masa hadapan. Kita ini adalah golongan yang menjadi penentu bagaimana Malaysia akan dicorakkan.

Bagi Muslim, memang mudah dan indah jika kita hanya beribadah tanpa memikirkan tentang siasah. Tapi, ingatkah kita bahawa Nabi kita bertungkus lumus untuk memerangi sistem jahiliyah untuk menegakkan sistem Islam? Jika seruan dakwah Nabi itu sekadar melakukan ibadah khusus, mana mungkin pemimpin-pemimpin kaum Musyrikin boleh merasa yang kedudukan mereka tergugat?

Kerana apa yang Nabi bawa adalah mesej kemanusiaan, mesej kesejahteraan, dan mesej keadilan. Ini semua memang bercanggah dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin Mekah waktu itu. Jadi, melihatkan kebobrokan masyarakat sekelilingnya, Nabi terus-menerus berdakwah untuk memperbaiki keadaan masyarakat semampunya.

Jadi, usah alergik dengan politik. Cukuplah kita memandang isu politik sebelah mata. Pun begitu, kita juga tak perlu mengambil port sehingga mengabaikan segala tanggungjawab yang ada. Cukuplah sekadar mengambil tahu dengan mindset bahawa satu hari, kita mahu dan mampu mengubah ini semua. Tak perlu masuk dalam parti politik pun tak apa. Perkemas tarbiyah diri kita, perbaiki akhlak kita, pertajam minda kita, insyaAllah bila sampai masanya, kita mampu mengubahnya.

May 11, 2014

Bila Hati Berat Untuk Menulis





Beberapa menjak ini, saya seringkali mempunyai keinginan untuk menulis, berkongsi ilmu dan rasa dengan orang lain melalui penulisan di blog ini, namun seringkali juga merasa berat untuk menulis. Mengapa?

Saya akui, sekarang merupakan detik-detik yang agak sukar dalam hidup saya. Sebenarnya saya malu (takut) berhadapan dengan orang ramai, dek ketidakstabilan hidup saya sekarang ini. Banyak sebenarnya perkara yang berlaku yang menyebabkan saya merasakan berat sekali untuk menulis tentang hal yang baik-baik, kerana hidup saya boleh dikatakan 'tidak baik' sekarang ini.

Mungkin, ini adalah ujian daripada nasihat-nasihat saya dulu kepada orang lain. Dulu, saya ringan sekali dalam memberikan pandangan serta nasihat kepada orang-orang disekeliling saya. Memberi kata perangsang dan semangat. Jadi, mungkin sekarang Allah mahu uji, apabila kesusahan itu memberati diri saya, adakah saya mampu melakukan seperti apa yang saya nasihatkan dulu itu? Adakah saya mampu untuk membangkitkan semangat saya ketika pudar? Adakah saya benar dalam iman saya?

Sebenarnya yang patut menjadi penasihat terbaik buat diri kita, adalah diri kita sendiri. Selagi kita tidak mampu memberi harapan kepada diri kita sendiri bahawa kita mampu hadapi segala ujian dan rintangan yang mendatang, kita akan terus menerus menjadi lemah semangat serta tidak bermaya. Datangkanlah rombongan kaunselor dan therapist sekalipun, jika diri sendiri tidak mahu cuba melangkah lebih jauh ke depan, memang takkan ke mana.

Namun, apabila kita sudah dilanda kebuntuan dalam menyelesaikan masalah diri kita, jangan lupa bahawa di sekeliling kita, ada ramai yang sebenarnya bersedia untuk membantu. Kita cuma perlu berani meluahkan apa yang terbuku di hati. Janganlah kita malu untuk mengaku kelemahan sendiri dan tidak mahu berkongsi masalah hanya kerana mahu menjaga air muka. Akhirnya, masalah tidak selesai, air mata pun berderai.

Benar, merenung kembali ayat-ayat Allah adalah sangat penting dalam kita mahu menyelesaikan masalah dan kerungsingan dalam hidup kita. Contohnya, jangan berputus asa dengan rahmat Allah (Az-Zumar: 53), Allah tidak membebankan kita luar dari kemampuan kita (Al-Baqarah: 286), Allah akan beri jalan keluar dari masalah (At-Talaq: 2-3), ini semua ujian Allah untuk melihat keimanan kita (Al-Baqarah: 214) dan banyak lagi ayat-ayat memberi kita mesej bahawa dalam hidup ini, jangan pernah mengalah.

Tapi dalam kita meneliti ayat-ayat tersebut, jangan pula lupa dengan ayat yang berbunyi:

“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).”
(An-Nahl: 43)

Kita orang muda ni, sebenarnya masih mentah dalam liku-liku kehidupan ini. Kita selalu rasa yang bila kita dah baca macam-macam, kita dah tahu macam-macam. Padahal, semakin kita membaca, semakin kita membesar, kita patut sedar yang sebenarnya makin banyak perkara yang kita tak tahu. Dan mereka yang pernah dahulu melalui jalan kehidupan ini, pastinya tahu lebih banyak cabaran yang perlu dilalui dalam meraih kejayaan dan kebahagiaan. Maka, janganlah segan silu untuk bertanya tentang kehidupan kepada yang pakar iaitu mereka yang telah merasai sendiri pahit manis kehidupan.

Al-Quran itu ada tetaplah menjadi panduan. Tetapi manusia itu juga ada supaya kita dapat mengaitkan panduan Tuhan itu dengan kehidupan. Carilah mereka yang berpengalaman dalam hidup ini, kutip hikmah serta mutiara, supaya kita muncul semula sebagai juara!