IBKG
Rumah Tentang IBKG

Aug 30, 2012

Janji Merdeka!!!



[Gambar]
Di ambang kemerdekaan ni, seperti biasa, bunga-bunga api akan dilancarkan, dataran akan dipenuhkan, manusia akan berlonggokan, menunjukkan semangat mereka dalam menyambut hari kemerdekaan negara. Menunggu masa, mengira jam untuk menanti hari esok yang menandakan hari untuk memperingati tarikh kemerdekaan telah tiba.

Tak tahu kenapa, tahun ni rasa lain macam tentang kemerdekaan. Terasa seperti tak ada jiwa kemerdekaan yang meresap dalam hati ini. Mungkin disebabkan oleh sesetengah pihak yang menjadikan sambutan ini sebagai kepentingan mereka, kemerdekaan itu disambutkan dalam skop yang begitu kecil dan sempit.

Maka, saya cuba menghayati semula kisah-kisah perjuangan sewaktu zaman nabi dan para sahabat. Saya sangat tertarik dengan satu quote daripada Bilal bin Rabah yang saya teringat ada menontonnya di sebuah movie iaitu, "Biar mereka menyiksa jasad kita, jiwa kita bebas". Begitulah sekadar yang saya ingat. Kesahihannya pun tak dapat dipastikan. Namun begitu, bukanlah itu yang menjadi isunya.

Apa yang ingin diketengahkan ialah, orang yang walaupun menjadi hamba kepada manusia juga memiliki keyakinan bahawa jiwa mereka bebas daripada cengkaman tuan mereka kerana tuan mereka juga hamba Tuhan. Biar diseksa bagaimanapun supaya keluar dari Islam, Bilal tetap teguh dengan pegangannya serta keras kepala mengalahkan kerasnya batu apabila disuruh meninggalkan agama yang diamalkannya.

Rib’ie bin Amir, sahabat nabi pernah berkata kepada Rustam, “Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan siapa saja yang Dia kehendaki dari perhambaan terhadap sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam…”

Bagi saya, ini merupakan definisi merdeka yang lebih bermakna. Kita bebas dari kecintaan terhadap dunia, kita bebas daripada penjajahan minda oleh orang yang bukan-bukan, bebas daripada menjadi hamba kepada manusia lain. Maksud saya tentang hamba kepada manusia lain ialah menjadi obses tak tentu hala kepada seseorang sehinggakan nilai-nilai Islam dalam diri kita semuanya ditolak ke tepi.

Apabila melihatkan rakan-rakan sebaya yang masih lagi hanyut, menganggap diri sudah merdeka tetapi masih dijajah dalam pelbagai aspek, agak sedih rasa di hati. Ingin sekali mengajak mereka kembali bebas daripada penjajahan dunia moden ini walaupun masih rasa ada lagi kesan-kesan jajahan jahiliyyah dalam diri ini. Namun, itu tak boleh menjadi penghalang buat diri kita untuk mengajak mereka kembali. Inilah tanggungjawab bagi orang-orang yang telah "disedarkan" daripada tipu daya dunia ini; mengajak orang kembali mengingati akhirat, mencintai akhirat, hidup di dunia untuk mengecapi kebahagiaan di akhirat.

Bayangkan, orang yang cedera akibat kemalangan di jalan raya sudah tentu akan selalu menasihatkan orang lain supaya berhati-hati di jalan raya biarpun lukanya masih ada. Begitulah orang yang telah sedar akan kebenaran yang dikecapinya setelah lama diselubungi kegelapan. Mereka akan menyampaikan kebenaran itu biarpun diri terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Kerana mereka tidak mahu manusia lain melakukan kesilapan yang dilakukan oleh diri mereka.

Maka, marilah kita bebaskan diri dari dibelenggu penjajahan yang halus ini supaya jiwa kita bebas, terutamanya dari cengkaman jahiliyyah yang masih bersarang dalam hati ini. Biar kita menjadi hamba hanya kepada Ilahi.

Janji Merdeka!!!

Aug 29, 2012

Kita Adalah Apa Yang Kita Fikirkan.



Cuba pandang diri kita. Cuba tengok cermin. (weh, henfon kan ada!). Erm... Tak kisah la nak pakai apa pun, yang penting cuba tengok diri kita kejap. Apa yang kita fikir waktu kita pandang diri kita? Maksud saya, kita nampak diri kita ni macam apa? Macam bongkah kayu ke, macam batang lidi ke, macam kereta sorong ke, atau macam bantal busuk?

Ada orang nampak diri dia macam seorang yang gagah perkasa walaupun pada hakikatnya fizikalnya sangat comel. Ada orang nampak dirinya macam superman walaupun badannya macam lidi. Ada pula yang nampak dirinya seperti kuman walaupun dirinya sebesar gajah.

Kita ialah apa yang kita fikirkan dalam minda kita. [Gambar]

Nak sebut kat sini, yang apa yang kita fikir tentang diri kita itu memberikan efek khas pada diri kita. Kata orang kebanyakan, "we are what we think". Jadi, memandangkan diri kita ni adalah apa yang kita fikirkan, maka setiap perlakuan kita itu dipengaruhi oleh apa yang kita fikirkan.

Contohnya, kalau minda kita dah set bahawa kita ini pencuri, maka tiap-tiap hari pasti kawasan perumahan kita akan mengalami kehilangan barang tiap-tiap hari dek kerana otak kita yang ligat berfikir untuk mencuri. Begitu pula jika minda kita dah set bahawa kita ini adalah pemandu yang berhemah, maka setiap jalan raya akan dilalui dengan penuh sopan dan bertatasusila.

Bagi kita yang telah banyak berdosa pada masa lalu, ada dua cara kita boleh pandang diri kita. Pertama, kita boleh memandang diri kita sebagai orang yang sentiasa bertaubat dan mengharapkan keampunan dari-Nya. Keduanya, kita boleh memandang diri kita sebagai pendosa yang tiada harapan untuk kembali. Kalau kita begitu merasakan bahawa Allah tak akan menerima kita kembali, ketahuilah bahawa kita dah membuat silap yang sangat besar (rujuk ayat di bawah).

Katakanlah : "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap jiwa mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Az-Zumar : 53

Ayat ini menunjukkan bahawa sejauh mana pun kita dah terpesong, jangan sesekali kita berputus asa dari rahmat Allah. Seluas bumi pun dosa kita, ketahuilah bahawa pengampunan-Nya lebih luas. ^_^

Dalam banyak situasi dalam hidup kita ni, banyak perkara yang kita boleh lakukan jika kita meletakkan keyakinan bahawa "Saya boleh!" kerana dalam surah Al-Baqarah : 286 diceritakan bahawa Allah takkan membebankan kita dengan perkara yang tak sanggup kita pikul. Dalam ayat itu juga ada panduan doa memohon supaya kita tak dibebankan dengan apa yang kita tak sanggup pikul. Ini seperti satu cara untuk mengingatkan kita bahawa apa yang diberikan Allah pada kita adalah perkara yang kita mampu hadapi dan kita perlu laluinya.

Kenapa kita perlu lalui ujian? Dalam surah Al-Baqarah juga dalam ayat 214, dibangkitkan satu persoalan bahawa adakah kita rasa kita dah boleh masuk syurga sedangkan kita belum diuji dengan bermacam-macam kesusahan? Maka, apa-apa masalah yang kita lalui, yakinlah bahawa Allah ingin menguji tahap keimanan kita, bukan ingin menzalimi kita. Macam dalam pendidikan pun, bukankah kita perlu lalui banyak ujian untuk melepasi tahap tertentu? Maka Allah maha layak memberikan kita ujian untuk melihat manakah di antara hambaNya yang benar-benar beriman.

Jadi, marilah kita ubah cara pandang diri kita. Yakinkan diri kita bahawa kita adalah orang yang boleh melalui setiap perkara dalam hidup ini sama ada susah atau senang. Pandang diri kita dengan pandangan yang positif. Insya-Allah, tiap-tiap apa yang kita lakukan, kita akan lakukan secara positif.

(Sebarang perkongsian amatlah digalakkan)

Aug 24, 2012

Apa Yang Kita Dapat Lepas Puasa? Duit Raya Lah Wehhh..!



Tarik nafas dalam-dalam...

Fuuuuuhhhhh!!!!!!!

Hamek kau duit raya! [Gambar]
Uhuk3! Banyaknya habuk. Dekat sebulan gak tinggalkan blog ini. Bukan saja-saja tinggalkan. Entah mengapa, bulan Ramadhan tu rasa seperti tak sesuai menulis blog, kerana orang ramai pun kemungkinan jarang membuka blog dan berinternet kerana sibuk beribadah. Anyway, sangat tabik kepada mereka-mereka yang begitu mudah mengupdate blog di bulan Ramadhan dan ada juga yang dapat update meskipun di waktu Syawal. Semudah menepuk dengan sebelah tangan.

Ehem... Jadi, Macam yang kita semua dapat rasakan, Ramadhan dah pun berlalu. Namun, dengan berlalunya Ramadhan, apakah yang kita dapat? Baju raya? Duit raya? Kuih raya? Beraya? Erk. Kalau tu je yang kita dapat, sila rewind balik ke bulan Ramadhan untuk menjalani semula bulan barakah itu.

Wahai  orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa...
Al-Baqarah : 183

Mari kita muhasabah balik, adakah beberapa hari lepas semasa kita beraya, adakah kita dapat mengaplikasikan apa yang kita jalani pada 30 hari sebelumnya. Yakni macam apa yang ayat di atas ni sebut, tentang menjadi orang yang bertakwa. Perasan tak, yang ayat ni seruannya adalah kepada orang beriman. Dalam Islam, ada beberapa darjat seseorang manusia itu di sisi Allah. Dan darjat yang tertinggi adalah darjat sebagai orang yang bertakwa.

Maka, cuba kita tengok balik apa yang kita buat waktu raya, adakah kita ni orang yang memburu tangan-tangan untuk disalam tanpa mengira halal atau haram? Adakah kita orang yang main sumbat apa-apa makanan? Asal jumpa je bedal! Apabila berbual pula, adakah kita orang yang luahkan segala keburukan orang? Tak puas hati sewaktu Ramadhan, maka balas dendamlah selepas habis Ramadhan. Erk. Ayuh jauhkan diri daripada berfikiran begitu.

Sejauh manakah kita telah mencapai takwa yang didamba-dambakan itu? Sejauh manakah kita hidup berlandaskan takwa? Ini membawa kepada perbincangan apakah itu takwa.

Takwa itu seperti yang dipelajari daripada interview di antara Umar Al-Khattab dan Ubai bin Ka'ab ialah umpama kita berjalan di jalan yang penuh dengan duri-duri tajam. Di mana, apabila kita melalui jalan yang penuh dengan duri-duri itu, sudah semestinya kita menjadi orang yang berhati-hati dalam menghadapi kehidupan ini.


Hati-hati melangkah! [Gambar]

Takwa bagi saya ialah kita memerhatikan secara detail setiap apa yang kita lakukan, adakah mendapat redhaNya atau murkaNya. Takwa mengajar kita menjadi "careful and observant". Takwa menjadikan kita berhati-hati menjalani kehidupan. Itulah apa yang saya pelajari hasil perbincangan dengan beberapa tok 'syeikh'. Harapnya definisi saya tak tersasar dari maksud takwa itu.

Marilah sahabat-sahabat. Kalau kita tersedar kembali bahawa kita belum merealisasikan tujuan dan matlamat puasa itu (mendapat takwa), masih ada masa untuk kita reflect diri kita. Ingat balik kenangan-kenangan kita beribadah di bulan Ramadhan. Ingat kembali momentum ibadah yang kita bina. Takkanlah pergaulan kita yang terjaga sewaktu Ramadhan tu senang-senang jadi longgar selepas habis Ramadhan. Takkanlah mod tarawih 20 rakaat yang menyebabkan kaki kita hampir terseliuh itu tak dapat kita praktikkan untuk hanya bersembahyang witir hanya 3 rakaat pada luar Ramadhan.

Reflect balik. Kemudian mulakan balik. Usah hilang momentum itu. Kerana ianya sangat-sangat berharga.

Aug 1, 2012

Ini Adalah Ramadhan Terakhirku



Ini Adalah Ramadhan Terakhirku



Ini Adalah Ramadhan Terakhirku




Ini Adalah Ramadhan Terakhirku



Ini Adalah Ramadhan Terakhirku





Ini Adalah Ramadhan Terakhirku



Ini Adalah Ramadhan Terakhirku





Ini Adalah Ramadhan Terakhirku



Ini Adalah Ramadhan Terakhirku




Ini Adalah Ramadhan Terakhirku



Ini Adalah Ramadhan Terakhirku




Ini Adalah Ramadhan Terakhirku



Ini Adalah Ramadhan Terakhirku




Ini Adalah Ramadhan Terakhirku



Ini Adalah Ramadhan Terakhirku



Sebutlah banyak-banyak pada diri kita. Mudah-mudahan akan memberi kita satu motivasi untuk berusaha bersungguh-sungguh menghadapi Ramadhan kali ini. Masanya tak pernah tiba untuk kita katakan "sudah terlambat".

Pabila kita sering peringatkan pada diri kita bahawa kemungkinan besar ini adalah Ramadhan terakhir untuk kita, pastinya kita akan memastikan ini adalah Ramadhan yang terbaik buat diri kita, jauh lebih baik dari sebelum-sebelum ini, insyaAllah.


Ini Adalah Ramadhan Terakhirku

Andai ada aku tersilap di waktu lalu

Maafkanlah dan teruskanlah hidupmu

Aku juga telah maafkanmu