IBKG
Rumah Tentang IBKG

Dec 18, 2013

Keikhlasan yang Berterbangan



Dalam kita rancak beramal atau mengajak orang beramal, kadang kita terlupa tentang perkara yang paling asas namun paling penting dalam melaksanakan amalan-amalan seharian. Ya, seperti jawapan yang telah dibocorkan oleh tajuk, hari ini kita akan bercakap tentang keikhlasan.

Mungkin kita masih ingat bukan bagaimana bahagianya apabila mula-mula disentuh dengan hidayah? Eh, bukan Hidayah anak pak cik jual baju bundle dekat Petaling Street tu. Sila berfikiran bersih. Ya, apabila disentuh oleh hidayah dari ilahi, terasa sangat nikmat dan berkat dalam beramal. Yang belum merasa tu, sila dapatkan pakej tarbiyah anda segera di majlis-majlis ilmu yang berdekatan anda.

Baik. Berbalik pada topik kita, apa yang saya ingin sentuh di sini ialah apa yang menyebabkan seseorang itu boleh rasa kekeringan walaupun setelah sekian lama hatinya terasa basah dengan tarbiyyah Islamiyyah. Perkara ini saya alami banyak kali sudah. Jatuh bangun jatuh bangun dalam bermujahadah. Jadi, saya ingin berkongsi tentang apa yang saya fikir punca kepada ini masalah. Iaitu, kita terlupa untuk beringat tentang sesuatu yang sangat asas tetapi sangat indah.

Keikhlasan. Titik.

Mungkin perkara ini nampak begitu simple dan tidak terlalu signifikan bagi sesetengah pihak. Namun, pihak saya mendapati perkara ini boleh mengakibatkan orang yang bermuka kurang hensem pun boleh bertukar menjadi hensem dalam sekelip mata. Haha. Ehem. Maksud saya, keikhlasan ini boleh mengubah emosi negatif menjadi positif dengan begitu mudahnya. Ia sepatutnya menjadi asas dalam kita melakukan apa sahaja. Hatta duduk seketika membaca blog ini dengan tekun pun memerlukan keikhlasan apa.



Jika keikhlasan itu sudah berterbangan daripada sarang hati kita, sudah tentu akan timbul pelbagai masalah. Sudah tentu kita rasa sangat susah untuk istiqamah. Sudah tentu kita baca Al-Quran pun terasa payah. Sudah tentu kita solat pun terasa lelah. Sudah tentu perkara kebaikan itu sendiri tidak terasa indah. Akhirnya, kita pun terasa resah dan mula mahu menggelabah.

Kenapa? Kerana kita mula mencari-cari habuan dunia. Tak bersetuju? Jujurlah dengan sendiri punya rasa. "Niat kerana Allah" itu lama-lama hanya jadi kata-kata sekadar kata. Walhal, disebalik amalan-amalan yang kita laksanakan, terdapat sesuatu yang kita harapkan. Sama ada kita sedar atau tidak, kesucian hati kita sebenarnya dipijak-pijak.

Begitulah liciknya syaitan dalam melaksanakan pelan penyesatan mereka. Apabila iman kita lemah, syaitan yang dihantar mungkin berkelulusan SPM sahaja. Apabila iman kita kuat, Professor Syaitan datang memberi 'tunjuk ajar' pada kita. Jadi, makin kita asyik melaksanakan amalan, makin kita perlu berhati-hati dengan bisikan syaitan. Jangan sampai hilangnya erti sebuah keikhlasan.

Keikhlasan itu kunci kepada ketenangan. Ia mampu meleraikan kesempitan di dada. Ia adalah ubat kepada hati yang terluka. Ia merupakan formula kepada keharmonian jiwa. Ia menjadikan minda itu terang semula. Apabila keikhlasan datang bertandang, cantiklah setiap apa yang kita pandang. Apabila keikhlasan menghilang, cahaya hidayah pun tidak kelihatan terang.

Persoalannya, bagaimanakah untuk peroleh keikhlasan? Itu, insyaAllah tunggu blog post yang akan datang. Hehe.

Luahan hati: Mungkin, apa yang menyebabkan saya tidak istiqamah sebelum ini adalah kerana kurangnya penghayatan tentang keikhlasan. Kesibukan? Percayalah, itu hanya alasan. Tiada yang mustahil sekiranya kita serius dalam perancangan. ;)

No comments:

Post a Comment