Jul 28, 2013

Kenapa Burung Tidak Terbang ke Angkasa Lepas?



Melihat keindahan alam memang menjadi kegemaran saya. Namun, saya tersedar bahawa dua tahun lepas saya sudah kurang peka untuk melihat keindahan-keindahan itu. Mungkin sahaja kerana di tempat yang saya diami itu agak suram dan kusam, (maaf wahai tempat lama). Jadi, saya sangat sangat sangat bersyukur sekarang ini kerana Allah menghantar saya ke tempat yang sangat tenang lagi menyejukkan mata hati. Hihi. Datanglah Tasmania ye kawan-kawan. Tempatnya sangat cantik.

Apa yang nak diceritakan di sini, sewaktu memandang ke langit, ternampak la pula burung-burung yang berterbangan bebas di langit yang tinggi. Terdetik di dalam hati, alangkah seronoknya kalau kita dapat terbang bebas di udara dengan suka ria dan gembira. Perkataan 'BEBAS' itu yang saya ingin ketengahkan.

Kenapa burung itu terbang tinggi di langit, tapi tidak terbang hingga ke angkasa lepas? Mungkin anda cakap kerana mereka belum capai tahap Super Burung. Tak pun kerana burung-burung itu tidak pakai seperti pakaian astronaut. Err... Anda banyak sangat tengok kartun ni. Hehe.

Cuba fikirkan. Mereka berpeluang untuk terbang tinggi di udara, dan nampaknya bebas, tetapi mengapa tidak terbang hingga ke angkasa lepas? Seperti yang semua tahu, hal ini kerana di angkasa lepas itu tiada bekalan oksigen untuk mereka dan kita bernafas. Jadi, apa point yang saya ingin sampaikan?

Ini sangat mengambil nafas (baca: breathtaking) [Gambar]
Pointnya ialah limitasi. Ya, Allah memberikan burung-burung ini kebebasan untuk terbang di udara, namun mereka juga diberikan limitasi daripada keluar merentasi angkasa. Apakah signifikannya ini? Kalau kita perhati, Allah memberikan burung-burung itu garis sempadan tentang di mana mereka patut berada dan sejauh mana mereka boleh pergi. Hakikatnya di dunia ini, tidak ada apa yang kita sebut sebagai kebebasan yang hakiki. Walaupun kita nampak burung-burung itu seakan terbang bebas tidak terperi.

Begitu juga insani. Kita di dunia ini boleh sahaja melakukan apa sahaja yang kita ingini. Namun, namun... Kita harus ingat bahawa di samping kebebasan itu, Allah memberikan juga kita limitasi. Kenapa perlu ada limitasi? Dalam kes burung sebentar tadi, jika mereka terbang melebihi limitasi, maka mereka akan serta merta mati. Jadi, dalam lingkungan limitasi itu, pastinya ada kehidupan yang selesa dan selamat untuk didiami. Sama juga seperti apa yang manusia diberi. Banyak sahaja perkara yang kita boleh lakukan di dunia ini. Tetapi terdapat juga limitasi yang kita harus turuti.

Pun begitu, limitasi itu bukannya untuk memerangkap kita seperti dalam peti besi. Tetapi ingin menjaga kita daripada terjerumus ke lembah yang dikeji. Di mana, lembah itu sangat menyempitkan dada dan menyesakkan hati. Lihat saja artis-artis Barat yang kehidupan mereka nampak indah di mata tapi derita pada realiti. Lihat sahaja mereka yang melanggar-langgar perintah ilahi, semuanya hilang erti pada dunia ini. Oleh itu, tidakkah kita amat-amat mensyukuri? Hidayah Allah yang mengetuk pintu hati. Bukankah itu tanda Allah menyayangi? Supaya kita tak terhumban ke dalam Sang Api. Dan dipanggil-panggil menyahut salam dari Syurga nan abadi?

Oleh itu, usahlah ragu. Setiap yang Allah tetapkan pasti ada yang kita tak tahu. Namun percayalah yang semuanya supaya ditetapkan dengan hikmah yang beribu-ribu!

*Tak tahu kenapa tiba-tiba terobses dengan rhyme ni. Huhu... Eh. Hihi...

2 comments:

  1. Tetiba saya rasa macam nak mengenali anda dgn lebih dekat lagi. Cewah :D

    ReplyDelete