IBKG
Rumah Tentang IBKG

Jul 3, 2013

Ketika Menang, Bersama. Ketika Kalah, Ke Mana?



Kami bersamamu Morsi! [Gambar]
Baru setahun lebih sejak Dr Morsi memenangi kerusi presiden di Mesir. Terasa macam baru semalam mendengar berita kemenangan Dr Morsi itu. Masih segar dalam ingatan, kerana itu adalah berita gembira yang sangat ditunggu-tunggu oleh ramai penyokong Islam. Itulah yang dinantikan oleh ramai yang mendokong kerja dakwah dan tarbiyah ini, yang ingin melihat sebuah negara Islam yang diterajui oleh seseorang yang betul-betul mengamalkan cara hidup Islam.

Apabila mendengar tentang penggulingan Dr Morsi, hati terasa sedikit sedih bercampur marah. Bayangkan, mendapat pemimpin yang sebegitu rupa bukankah merupakan satu anugerah Allah yang sangat berharga? Bagaimana mungkin pemimpin seperti itu ditolak sedangkan beliau mempunyai personaliti yang baik serta banyak juga sumbangannya terhadap negara Mesir walaupun baru setahun memerintah? Ini agak tidak masuk akal!

Namun, begitulah dia sunnah dalam perjuangan. Tidak semuanya indah-indah belaka. Tidakkah kita terbaca firmannya,

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada besertanya: "Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir."

Al-Baqarah: 214

Diriwayatkan oleh Abdurrazzaq dari Ma’mar yang bersumber dari Qatadah: Ayat ini diturunkan bersangkutan peristiwa Perang Ahzab, apabila Rasulullah dan para sahabat merasai pelbagai kesulitan serta dikepung pula oleh musuh. Betapa besarnya ujian Allah terhadap mereka sehingga terkeluar pertanyaan daripada mereka: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?". Wahai anda! Kita bukan cakap tentang orang yang biasa-biasa. Kita bercakap tentang orang yang cekal dalam memperjuangkan Islam, yang bersama baginda merasai keperitan di jalan kebenaran ini. Apabila mereka pun boleh tanya begitu, pastinya ujian yang diberikan sangat menggugah jiwa dan iman. Bukankah begitu?

Dari segi logiknya, sudah semestinya orang yang baik itu akan ditolong serta-merta dan dimenangkan oleh Allah bukan? Tapi sunnatullah tidak begitu. Allah pasti akan uji kita, supaya melihat adakah kita ini benar-benar memperjuangkan kalimatNya atau sekadar hangat-hangat tahi unta? Adakah kita hanya akan bersama perjuangan ini hanya apabila kelihatannya Islam itu sudah menang dan meninggalkan perjuangan ini apabila ia nampaknya seperti kalah? Sesungguhnya jika kita tidak mahu bersama berjuang apabila diberikan peluang, pastinya Allah akan menggantikan kita dengan golongan yang lain yang akan benar-benar berjuang dalam menegakkan syariatNya.

Lihat sahaja sewaktu Fathu Makkah, apabila Islam menang terhadap musyrikin Makkah dan dibuka pula oleh Nabi Muhammad s.a.w., bukankah berbondong-bondong dan bergolek-golek orang yang menyatakan hasrat ingin memeluk agama Islam? Kebanyakan mereka adalah orang yang tahu bahawa ajaran yang dibawa Rasulullah itu benar, namun takut untuk bersama dengan baginda sebelum itu kerana melihatkan asakan, cercaan dan penghinaan yang diberikan kepada umat Islam sewaktu itu. Akhirnya apabila Islam telah menang, baru mereka menyatakan keislaman mereka. Adakah kita mahu menjadi golongan seperti itu ataupun golongan yang awal-awal memeluk Islam?

Wahai teman, usah resah apabila diperangi manusia, andai yang engkau kejar adalah redhaNya, kerana kemenangan pasti menanti dihujungnya. Namun resahlah apabila diperangi manusia, andai yang engkau kejar adalah dunia, kerana kekalahan menanti dihujungnya! Bukankah kemenangan yang termulia itu adalah syurga yang abadi dan kekalahan yang terhina itu adalah neraka yang sangat ngeri?

Ayuh, bantulah mereka sedaya kita. Janganlah hanya bersama mereka hanya ketika mereka kelihatan menang, tapi tinggalkan mereka apabila mereka seakan-akan kalah. Di dalam perjuangan ini, pastinya ada naik dan turunnya. Pasti ada menang dan kalahnya. Namun ingatlah bahawa yang haq itu sudah semestinya akan menang. Jadi, titipkanlah doa bagi sahabat-sahabat seperjuangan kita di Mesir, Palestin, Syria, Turki, Iran, dan sebagainya. Sebarkanlah kesedaran, usah biarkan sahabat-sahabat kita hanyut di dalam arus keduniaan sedangkan umat Islam yang lain bermati-matian menegakkan kebenaran.

Marilah lihat peristiwa di Mesir ini sebagai peringatan untuk kita lebih gigih dan bersungguh-sungguh dalam menyebarkan mesej-mesej Islami kepada dunia sejagat. Moga Allah memberikan petunjuk kepada kita serta menjadikan kita orang yang benar serta ikhlas dalam perjuangan ini, insyaAllah.

Pray for Egypt!

No comments:

Post a Comment