IBKG
Rumah Tentang IBKG

Jan 24, 2015

Saya, Kawan Introvert Anda



Untuk sesiapa yang tidak tahu, saya adalah seorang yang introvert.

Saya pasti, orang-orang yang pernah berada bersama saya akan setuju dengan kenyataan media ini. Kalau tidak setuju, sila keluar dari blog ini. Haha. Agak pelik bila ada orang kata saya extrovert di media sosial, tapi introvert di dunia sebenar. Sekadar pemerhatian saya, kebanyakan orang introvert lebih suka meluahkan rasa mereka pada tulisan, bukan perkataan.

Saya pernah bercakap di hadapan ratusan orang (serius, rasa macam nak pengsan waktu tu). Saya selalu juga naik menjadi imam solat ketika di Tasmania (sebab orang lain selalu tak nak -_-). Saya pernah sertai badan-badan kepimpinan. Tapi, adakah itu semua menjadikan saya extrovert? Saya kata, tidak.

Ya, saya tak banyak berbicara. Jadi, saya adalah antara orang yang mudah mengamalkan hadis "berkatalah yang baik atau diam". Bahagian 'diam' itu alhamdulillah, saya mudah lepas. Namun, bila saya lihat balik hadis itu, yang saya nampak lebih dahulu disebut adalah 'berkata baik', bukan 'diam'.

Jadi, makin banyak perkara yang saya pelajari, patutnya saya lebih utamakan bahagian 'berkata baik' itu. Sekiranya ada sesuatu yang baik untuk diperkatakan, maka berkata-katalah. Sekiranya tidak ada, barulah diam, memberi izin pada cengkerik untuk menyanyi.

Sebenarnya, bahaya juga kalau kita terlalu berdiam diri atau diam terlalu lama. Ketika ada kebenaran yang ingin disampaikan, maka sampaikan. Jika bertakung lama di dalam benak jiwa, takut ianya menjadi racun yang merosakkan. Bukankah air yang bertakung sering menjadi punca penyakit? Dan cara mencegahnya adalah dengan sentiasa memastikan air itu mengalir?

Sama juga ilmu. Jika hanya disimpan di dalam dada tanpa disalurkan kepada aliran yang betul, risau ilmu itu bakal mengeraskan hati kita. Seperti yang termaktub dalam Al-Quran;

"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka)? Dan janganlah mereka (menjadi) seperti orang-orang yang telah menerima Kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras, dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik."  [QS Al-Hadid, 57:16]

Mungkin ayat ini tidak begitu berkait. Namun, kalau ingin ceritakan pengalaman saya sendiri, saya memang rasa ada sesuatu yang tidak kena apabila saya ada sesuatu yang ingin diperkatakan, namun tidak diluahkan. Apabila terlalu kerap saya berdiam diri, akhirnya saya terasa seperti suatu racun meresap ke dalam jiwa. Ianya membunuh diri saya tanpa sedar.

Setelah diluahkan, alhamdulillah terasa kelegaannya. Jadi, sama seperti kebenaran. Apabila kita telah mendapatnya tetapi tidak disebarkan kepada orang lain, suatu masa nanti hati kita yang pernah lembut dengan hidayah akan jadi beku dek kebisuan kita.

Untuk orang yang terlalu banyak bercakap, biasanya dinasihatkan supaya kurangkan sedikit percakapan itu. Namun, berapa kerap sahaja nasihat yang diberikan kepada mereka yang terlalu suka untuk diam (macam saya)?

Jadi, buat orang seperti saya, saya ingin memberikan nasihat yang kurang popular.

"Bercakaplah!"

No comments:

Post a Comment