IBKG
Rumah Tentang IBKG

Dec 28, 2013

Bersyukurlah Wahai Rakyat Jelata! Biarkan Beta Bergembira.



Pastinya kita sekarang ini rasa terhimpit dan sesak di dada, hingga kita rasa mahu hempap katak kodok tak berdosa yang bermain-main di tepi longkang itu akibat rasa terlampau geram dengan situasi yang dihadapi oleh masyarakat kita. Ya, kenaikan macam-macam harga. Itulah yang berputar-putar dalam minda masyarakat yang marhaen seperti kita. Walaupun saya belum lagi bekerja, namun terasa sangat kesempitan yang dirasai oleh ibu dan bapa yang berpenat lelah mencari nafkah untuk menyara kehidupan keluarga. Tapi, kita rasa susah hati dan sakit hati bukannya sebab kita tak bersyukur ke apa. Tapi, disebabkan pemimpin seolah-olah bercakap "Bersyukurlah wahai rakyat jelata! Biarkan beta sahaja bergembira".

Eh. Jangan salah sangka. Sultan ni baik orangnya. [Gambar Sekadar Hiasan]
____________________________________________________

Walaupun saya mendapat biasiswa MARA, saya rasa tidak wajar untuk bersenang-senang dengan wang yang diperolehi begitu sahaja. Pernah sekali, saya mendapat duit cash dalam RM2000 daripada biasiswa itu dan bercadang untuk membeli sesuatu dengannya. Ummi, waktu itu tidak berterus-terang, namun seakan-akan membisikkan sesuatu yang berbunyi "keluarga lebih memerlukannya". Fuh. Rasa sebak di dada.

Dari situ, saya cuba menggunakan sebaiknya duit yang diberikan. Tidak membelanjakan secara boros. Ada juga sebahagiannya disimpan untuk kegunaan dakwah dan tarbiyah yang memakan dalam beratus-ratus dollar juga harganya. Namun, wang saya di dalam akaun lebih banyak berbanding rakan-rakan saya yang lain yang membelanjakan duit itu hanya untuk kegunaan diri sendiri. Ada juga mereka yang hinggakan sudah kosong wang di dalam akaunnya. Bila ada yang kata "Kita tak payah kedekut sangat", saya pun menjawab dalam hati, "Kenapa nak boros sangat?". (Kepada kawan saya yang terbaca ini, mohon agar terasa. Hehe. :3)

Itu baru 'kemewahan' orang yang dapat biasiswa, yang sebenarnya ada kemungkinan juga untuk masa depan dihimpit andai tidak perform dalam exam (salah sendiri la) ataupun tidak dijanjikan dengan sebuah pekerjaan. Tetapi apa yang nak dikatakan di sini, ujian kesenangan berupa kemewahan ini, senang sekali untuk buat seseorang itu boros, tidak berbelanja dengan baik akibat tidak ada perancangan kewangan yang betul. Apa yang nampak di mata, semuanya kita yang punya. Apa yang nampak sedap, semuanya nak dilahap.

Kalau orang macam ni yang menasihati rakyat Malaysia supaya bersyukur dan bersabar walau apapun keadaan yang menimpa rakyat, tidak kira seintelek mana pun orang itu, sudah pasti rakyat akan rasa sangat tak berpuas hati bukan? Suruh orang yang dalam kesusahan supaya bersyukur dan bersabar, namun pada masa yang sama, diri sendiri hidup dalam keadaan mewah. Bukanlah nasihat itu tidak patut diterima, namun apabila yang menasihati itu tidak menunjukkan contoh yang baik, memanglah ada yang akan rasa jelik. Ada masanya, apabila kita tak mampu untuk menenangkan orang, lebih baik sahaja diam.

Disini, saya ingin berkongsi cerita tentang sebuah susuk manusia.

Susuk itu...

Ketika mampu hidup mewah, dirinya memilih hidup yang sederhana.

Ketika mendapat pangkat yang 'gah', dirinya sekadar kelihatan biasa-biasa.

Ketika pengikutnya mengadu susah, dirinya berkongsi rasa yang sama.

Ketika semua orang terasa lemah, dirinya bangkit menghidupkan jiwa.

Ya. Itulah Rasulullah. Contoh teladan sepanjang zaman. Baginda bukan sekadar membiarkan pengikutnya dalam kesusahan tatkala dirinya merasa kesenangan. Tidak! Bahkan dirinya yang sentiasa kelihatan daif walaupun hakikatnya baginda mampu memiliki apa sahaja. Namun, baginda lebih mencintai akhirat daripada dunia. Baginda lebih mengutamakan orang lain berbanding dirinya.

Oleh itu, jiwa mana yang tidak merasa senang mendapat pemimpin yang sebegitu? Hati mana yang tidak merasa tenang andai ditunjukkan contoh yang sebegitu? Ya Allah, ampunilah diri kami kerana jauh sekali dari mencontohi cara hidup baginda, sedangkan jika benar kami mencintaiMu, pastinya kami akan mengikuti pesuruhMu.

Jadi, saya menulis ini bukanlah untuk mengajak semua orang hanya redha dengan apa yang menimpa kita tanpa membuat apa-apa. Kemungkinan, apa yang berlaku sekarang ini adalah musibah kepada kita. Musibah kerana meninggalkan apa yang disuruhNya, dan melakukan apa yang dilarangNya. Mungkin ini adalah peringatan supaya kita bergerak membentuk peribadi kita dan orang di sekeliling kita mengikut style Rasulullah dan para sahabat baginda. Ya, mungkin memakan masa yang lama. Tetapi, moga dengan usaha kita itu, akan terlahir lebih ramai pemimpin yang baik serta mengikut acuan Islam.

Moga dengan itu, kita akan memperoleh negara yang lebih makmur, aman, dan bahagia. InsyaAllah.

Ayuh berubah!

Dec 21, 2013

Menunjuk-nunjuk Pada Tuhan




Tajuk menyesatkan? Err... "Kalau tak suka, boleh cari blog lain!" Begitulah kenyataan Menteri Pembloggeran. Ehehe...

Tengok ni!!! [Gambar]

Ikhlas itu sendiri adalah topik yang tersangat payah untuk diterangkan, apatah lagi untuk diterangkan oleh orang yang cetek ilmu seperti saya dan tidak mempunyai background pengajian agama. Memang harapan tinggal harapan sahaja. Namun, tidak salah untuk berkongsi apa yang kita faham mengenainya. Kerana, apa guna jika pernah dengar dan membaca mengenainya andai kita tidak boleh berkata sepatah pun tentangnya.

Apa yang ingin saya kupas di sini hanyalah sesuatu yang asas sahaja. Maka, kalau ingin tahu dengan lebih mendalam, banyakkanlah belajar daripada ahlinya. Itu sahaja dari saya. Tata...

Ehem. Keikhlasan itu adalah sebuah perjalanan yang tidak akan berkesudahan. Pastinya setiap kali kita ingin melakukan sesuatu amalan, keikhlasan kita akan diuji dengan berterusan. Contohnya, dah elok-elok kita tolong Pak Imam seterika kopiahnya, tiba-tiba anak perempuan beliau muncul. Pada awalnya niat kita membantu tu hanya kerana Allah, tapi tiba-tiba niat lain pula timbul. Menarik ni jika dibuat drama.

Jika anda perasan, saya ada menyebut term 'kerana Allah'. Kebiasaannya apabila seseorang itu menyebut tentang ikhlas, orang akan sebut 'kerana Allah', 'kerana Allah'. Disebabkan diri saya ini terlalu lemah, saya masih tak dapat menghadam maksud disebalik "melakukan sesuatu kerana Allah". Jadi, saya cuba mengambil pendekatan lain. Harap betulkan saya andai ada yang tersalah.

Sebelum pergi kepada ikhlas, suka sekali untuk saya mengajak kita semua recall balik dengan apa yang kita panggil Ihsan. Ya, pastinya kita sudah sedia maklum dengan definisi Ihsan sewaktu hingus masih meleleh di bangku sekolah dahulu. Maksud Ihsan menurut hadis-2 daripada Hadis 40 adalah kita beribadah seolah-olah kita melihat Allah. Kalau kita tak dapat rasa begitu, hanya setkan pada minda bahawa Allah sentiasa melihat kita.

Ok. Cuba bayangkan macam ni la. Contohnya, kita sangat hormat dengan Presiden Malayasa, Dato' Naqib atas Dasar Transformasi beliau yang berjaya mengubah Malayasa menjadi sebuah Transformers. Jadi, sewaktu ingin bertemu dengan beliau dalam sebuah majlis, pastinya kita akan pakai dengan begitu cantik menarik tertarik, lebih hebat bergaya daripada isteri Dato' Naqib, Puan Rostam. Apabila sedang bertemu beliau, pastinya kita akan menjaga tutur kata kita, perilaku kita, dan setiap apa yang kita lakukan, hinggakan kentut pun kita akan bertahan sehingga berjam-jam. Namun, jika kita menghadiri majlis tersebut tanpa kehadiran Dato' Naqib, kita akan masih dapat menunjukkan perangai yang baik kerana kita tahu bahawa pengikut-pengikut beliau masih ada di majlis itu memerhati tetamu-tetamu yang datang.

Ikhlas itu ialah mensucikan niat kita melakukan sesuatu itu semata-mata untuk Allah. Tak dapat interpret? Yes. *High Five*. Jadi, pendekatan lain yang ingin saya bawa ialah kita setkan minda kita melakukan sesuatu untuk 'menunjuk-nunjuk' pada Allah.

"Eh, ajaran sesat apa yang aku tengah belajar ni?!!" Getus hati anda.

Erk. Sabar. Saya akan cuba jelaskan apa yang saya faham. Macam ni. Cuba bayangkan kalau kita mahu menunjuk-nunjuk pada manusia. Kita pasti akan buat sesuatu tu untuk membuat orang di sekeliling kita mengambil perhatian dengan apa yang kita lakukan. Jadi, perasaan seperti itu, cuba kita convertkan supaya kita hanya rasa ingin menunjukkan apa yang kita lakukan itu pada Allah dan Allah sahaja. Biar berapa ramai yang bersama kita, atau tiada sesiapa langsung yang bersama kita, lakukanlah untuk amal itu dipersembahkan hanya kepada Allah.

Maksudnya, kita memakai konsep Ihsan dan Ikhlas secara selari. Kita menyalurkan hati kita agar amal yang kita lakukan itu hanyalah untuk dipersembahkan pada Allah, dengan kesedaran bahawa Allah sentiasa memerhatikan apa yang kita lakukan.

Untuk lebih faham mengenai ikhlas, jemputlah datang ke link ini: LINK

Dec 18, 2013

Keikhlasan yang Berterbangan



Dalam kita rancak beramal atau mengajak orang beramal, kadang kita terlupa tentang perkara yang paling asas namun paling penting dalam melaksanakan amalan-amalan seharian. Ya, seperti jawapan yang telah dibocorkan oleh tajuk, hari ini kita akan bercakap tentang keikhlasan.

Mungkin kita masih ingat bukan bagaimana bahagianya apabila mula-mula disentuh dengan hidayah? Eh, bukan Hidayah anak pak cik jual baju bundle dekat Petaling Street tu. Sila berfikiran bersih. Ya, apabila disentuh oleh hidayah dari ilahi, terasa sangat nikmat dan berkat dalam beramal. Yang belum merasa tu, sila dapatkan pakej tarbiyah anda segera di majlis-majlis ilmu yang berdekatan anda.

Baik. Berbalik pada topik kita, apa yang saya ingin sentuh di sini ialah apa yang menyebabkan seseorang itu boleh rasa kekeringan walaupun setelah sekian lama hatinya terasa basah dengan tarbiyyah Islamiyyah. Perkara ini saya alami banyak kali sudah. Jatuh bangun jatuh bangun dalam bermujahadah. Jadi, saya ingin berkongsi tentang apa yang saya fikir punca kepada ini masalah. Iaitu, kita terlupa untuk beringat tentang sesuatu yang sangat asas tetapi sangat indah.

Keikhlasan. Titik.

Mungkin perkara ini nampak begitu simple dan tidak terlalu signifikan bagi sesetengah pihak. Namun, pihak saya mendapati perkara ini boleh mengakibatkan orang yang bermuka kurang hensem pun boleh bertukar menjadi hensem dalam sekelip mata. Haha. Ehem. Maksud saya, keikhlasan ini boleh mengubah emosi negatif menjadi positif dengan begitu mudahnya. Ia sepatutnya menjadi asas dalam kita melakukan apa sahaja. Hatta duduk seketika membaca blog ini dengan tekun pun memerlukan keikhlasan apa.



Jika keikhlasan itu sudah berterbangan daripada sarang hati kita, sudah tentu akan timbul pelbagai masalah. Sudah tentu kita rasa sangat susah untuk istiqamah. Sudah tentu kita baca Al-Quran pun terasa payah. Sudah tentu kita solat pun terasa lelah. Sudah tentu perkara kebaikan itu sendiri tidak terasa indah. Akhirnya, kita pun terasa resah dan mula mahu menggelabah.

Kenapa? Kerana kita mula mencari-cari habuan dunia. Tak bersetuju? Jujurlah dengan sendiri punya rasa. "Niat kerana Allah" itu lama-lama hanya jadi kata-kata sekadar kata. Walhal, disebalik amalan-amalan yang kita laksanakan, terdapat sesuatu yang kita harapkan. Sama ada kita sedar atau tidak, kesucian hati kita sebenarnya dipijak-pijak.

Begitulah liciknya syaitan dalam melaksanakan pelan penyesatan mereka. Apabila iman kita lemah, syaitan yang dihantar mungkin berkelulusan SPM sahaja. Apabila iman kita kuat, Professor Syaitan datang memberi 'tunjuk ajar' pada kita. Jadi, makin kita asyik melaksanakan amalan, makin kita perlu berhati-hati dengan bisikan syaitan. Jangan sampai hilangnya erti sebuah keikhlasan.

Keikhlasan itu kunci kepada ketenangan. Ia mampu meleraikan kesempitan di dada. Ia adalah ubat kepada hati yang terluka. Ia merupakan formula kepada keharmonian jiwa. Ia menjadikan minda itu terang semula. Apabila keikhlasan datang bertandang, cantiklah setiap apa yang kita pandang. Apabila keikhlasan menghilang, cahaya hidayah pun tidak kelihatan terang.

Persoalannya, bagaimanakah untuk peroleh keikhlasan? Itu, insyaAllah tunggu blog post yang akan datang. Hehe.

Luahan hati: Mungkin, apa yang menyebabkan saya tidak istiqamah sebelum ini adalah kerana kurangnya penghayatan tentang keikhlasan. Kesibukan? Percayalah, itu hanya alasan. Tiada yang mustahil sekiranya kita serius dalam perancangan. ;)