IBKG
Rumah Tentang IBKG

May 22, 2016

Contohi Iklan Thailand



“Aku rasa lepas ni tak nak join usrah la”

“Hmm… Boleh aku tahu kenapa?”

“Kat usrah tu diorang tak habis-habis ulang benda sama je. Tak banyak pengisian yang menyentuh hati. Alih-alih sebut pasal kena join usrah dengan kena bawak usrah. Bosan la. Aku pergi ceramah agama lagi banyak benda aku dapat.”

Itu luahan dari seorang sahabat kepada saya dan saya tidak menyalahkan dia kerana saya pun selalu merasakan perkara yang sama. Namun, saya tidak meluahkan pada orang tentangnya.

Biasa kan kita tengok iklan yang agak terdesak mempromosi produk mereka sehingga kita pun rasa meluat melihat iklan-iklan itu? Tak pun apabila sesetengah figura di Facebook yang kita sudah lama follow kerana penulisannya, tiba-tiba banyak pula iklan yang diletak di timelinenya. Kita rasa kurang senang. Rasa seperti ada sesuatu yang dipaksakan ke atas diri kita sedangkan kita tidak mahu ambil tahu tentangnya.

Touching bro! [Video]

Tapi tunggu. Lihat pula iklan-iklan Thailand yang viral semenjak dua menjak ini. Biasanya iklan yang mencari orang. Tetapi dalam kes ini, orang yang mencari iklan mereka. Bagaimana boleh jadi begitu? Apa bezanya iklan Thailand dengan iklan lain?

Iklan mereka lebih mementingkan mesej berbanding produk. Mereka lebih fokuskan kepada rasa dan fikir yang mereka ingin ketengahkan kepada audiens, bukannya mengetengahkan apa kelebihan produk mereka, seperti banyak iklan lakukan.

Seperti itu juga kita patut fikirkan tentang usrah. Usrah itu hanyalah sebuah produk yang dihasilkan oleh pendakwah Islam, seperti mana terhasilnya produk seperti ceramah, kuliah, daurah dan sebagainya. Ia bukanlah mesej, bukanlah isi Islam itu sendiri. Islam itu sendiri adalah mesejnya, isinya. Pengabdian diri pada Allah, pemurnian aqidah, penyucian jiwa, penyempurnaan akhlak, itulah intipati yang kita mahu sampaikan kepada manusia.

Andai kita betul fokus dan ikhlas menyentuh hati manusia, insyaAllah manusia itu pun terasa mahu menyentuh hati orang lain, tanpa perlu disuruh pun. Bayangkan, jika kita jumpa kedai makan yang sedap, sudah pasti kita juga akan mempromosikannya kepada kawan-kawan kita tanpa perlu kedai makan itu menyuruh kita buat promosi.

Usrah itu alat dan Islam itu matlamat. Maka lebihkanlah matlamat berbanding alat, moga manusia lebih mudah terlekat.

No comments:

Post a Comment