.........................................
Laut yang tenang jangan disangka tak ada jerung, langit yang
terang jangan disangka takkan mendung, pohon yang rendang jangan disangka takkan
rentung, dan hati yang lapang jangan disangka takkan meraung.
.........................................
Pabila hidayah itu mula meresap ke dalam jiwa, segalanya terasa
indah. Baca Al-Quran; terasa seperti mahu terbang. Tunai solat; terasa tubuh
seakan di awangan. Laksana puasa; terasa kebal dari sebarang godaan. Namun
sekarang, semua itu berubah. Amalan sunat sekadar syarat mutabaah. Zikir
sekadar sebutan kosong pada lidah. Solat sekadar buat gitu-gitu je lah. Dan
banyak lagi yang tidak disebutkan kerana takut semua orang akan jadi tak tentu
arah.
Kadang, kita terlalu fikir untuk meluncur laju, sehingga
banyak perkara yang tercicir dan terhakis sedikit demi sedikit dari qalbu. Kita
lupa untuk faham setiap apa yang kita amalkan. Kita lupa untuk hayati
bibit-bibit indah yang kita tuturkan. Kita lupa untuk hadam apa yang kita
bacakan. Segalanya terasa kering-kontang. Jasad itu hadir, tapi jiwa itu
melayang. Lidah itu berzikir, tapi fikiran itu kerisauan. Minda itu berfikir,
tapi hati itu kelesuan. Terasa tidak kena walaupun hidup dihiasi amal kebaikan.
Berhentilah sejenak!
Kita duduk bermuhasabah sekejap. Adakah niat kita sekarang sama seperti yang
dulu? Di mana sebenarnya arah yang kita ingin tuju? Adakah Al-Quran itu lebih
sedikit kita tengok berbanding dengan MukaBuku? Adakah solat itu kita lakukan
di awal waktu? Adakah Allah yang kita ingat selalu? Lontarkan banyak-banyak
soalan yang padu. Sedarkan kembali minda dan hati yang sudah menjadi kelabu dan
menggerutu.
![]() |
Sayalah mesin jahit legenda itu [Gambar] |
Kita bukan mesin.
Mesin itu tetap melaksanakan kerja mereka secara berterusan.
Namun, tiada perasaan di kala kerja dilakukan. Hanya menurut apa yang diaturkan.
Tidak dapat menghayati aksi-aksi yang telah diprogramkan.
Tapi kita ini insan.
Ya, kita ini insan. Insan itu punyai hati dan perasaan. Insan
itu punyai jiwa dan pemikiran. Pantaskah kita bekerja tanpa cakna, membaca
tanpa makna, berbicara tanpa canda, dan beribadah tanpa jiwa? Tidak ingatkah
kita bahawa Nabi kita s.a.w. adalah yang paling berat bebannya di antara kita,
namun tidak pernah lekang senyumannya?
Kata ‘Abdullah bin al-Harith:
“Aku tidak pernah melihat seseorang lebih banyak senyuman
daripada Rasulullah s.a.w”
(Riwayat al-Tirmizi, sahih)
Banyak sahaja masalah yang baginda hadapi. Besar pula
cabaran yang baginda lalui. Namun, baginda ajar supaya kita sentiasa mengukir
senyuman. Diwaktu saat yang kecemasan, baginda berpesan pada seorang teman,
supaya tidak merasa kesedihan, kerana yang bersama mereka sentiasa adalah Tuhan.
Maka, jiwa yang resah itu akan menjadi senang. Dada yang sempit itu akan menjadi
lapang. Hati yang gelap itu akan menjadi terang. Minda yang kusut itu akan
menjadi tenang.
Jadi, marilah sama-sama muhasabah kondisi hati kita. Adakah
kita umpama mesin yang tiada nyawa, ataupun insan yang kaya dengan jiwa?
Tulisan ini sekadar ingin memberi 'spark' untuk raih semula hati
dan perasaan kita. Nasihat ini secara jujurnya adalah direct hit pada diri
saya. Ambillah sekiranya merasakan ianya berguna.
Moga Allah redha.
No comments:
Post a Comment