[Gambar] |
Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar,
Laailaha illallahu Allahu Akbar,
Allahu Akbar wa lillahilhamd!
Ramadhan telah pergi, Syawal pula menanti.
Perginya Ramadhan, kita tangisi. Namun, datangnya Syawal, kita rai.
Ramadhan adalah bulan tarbiyah, manakala Syawal pula bulan hadiah.
Oleh itu, bergembiralah! Bergembiralah apabila menyambut hadiah dari Allah.
Bergembiralah atas kemenangan dalam kita melaksanakan ibadah dalam bulan Ramadhan. Namun, tetaplah menyambut perayaan ini dengan penuh rasa kesyukuran dan kehambaan. Bukan kefuturan dan kemaksiatan.
Futur? Ya, jika semua amal kencang kita itu hilang bak ditiup angin taufan.
Syukur? Apabila kita masih istiqamah dalam mengekalkan amalan seperti di bulan Ramadhan.
Untuk menerangkan secara seinci-seinci tentang panduan untuk menyambut Syawal, tidak termampu saya. Jadi, saya sertakan link yang insyaAllah bermanfaat ini sebagai panduan semua. Err... Link?
Apabila Ramadhan telah pergi, pastinya sedihnya terasa juga di hati kan? Kerana telah perginya bulan yang penuh keberkatan. Siapa yang tidak suka dengan promosi-promosi yang diberikan untuk memotivasikan diri kita untuk meningkatkan amalan? Pastinya semua orang melompat kegirangan dan tertawa riang kerana bersemangatnya untuk beribadah sakan. Namun, apabila semua promosi yang ditawarkan kepada kita sudah tiada, pastinya kita akan terasa kehilangan. Itu normal untuk orang yang mempunyai perasaan.
Namun, hari raya adalah hari untuk kita merasa gembira. Bukan untuk kita rasa kecewa, hiba, duka dan nestapa (mak aih!). Hari raya adalah hari yang kita raikan sebagai tanda menangnya kita di atas nafsu yang selama ini sering membelenggu diri kita. Hari raya adalah sebuah hadiah dari Allah untuk hambaNya yang setia. Maka, jika amalan kita pada bulan Ramadhan hanya gitu-gitu sahaja, atau mungkin lebih teruk dari bulan-bulan biasa, maka layakkah kita untuk meraikannya? Haa... Kan dah terasa.
Eh, usah kecewa. Ini adalah sesi muhasabah sahaja. Tidak ingin pula kata kita tidak boleh meraikannya andai ibadah kita seperti nak tak nak sahaja. Tapi, ingin mengajak kita semua bermuhasabah supaya mempunyai azam untuk lebih mendapat makna. Makna yang sebenar disebalik hari raya.
Sentap, sentap juga, bergembira tetap bergembira, namun tetap di dalam redhaNya.
Nasihat untuk diri saya dan semua, biarlah kita selepas Ramadhan menjadi lebih baik daripada kita sebelum Ramadhan. Moga amal yang kita sudah kerjakan di bulan Ramadhan dapat menjadi bekal supaya kita sentiasa istiqamah beramal pada 11 bulan yang seterusnya, dan menjadi lebih baik pula pada Ramadhan yang akan datang. Ulanglah proses ini hinggalah sampai nyawa di kerongkongan.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua! Jangan lupa bagi duit raya! Taqabbalallahu minna waminkum. Maksudnya, moga Allah menerima amal kami dan kalian.
p.s: Eh, peliknya. Tadi nak tulis pendek je. Sedar-sedar agak panjang juga daripada niat asalnya.
Sahabat anda,
IBKG