IBKG
Rumah Tentang IBKG

Jun 30, 2012

Teori Dam Haji



Assalamualaikum. Sayalah Dam Haji [Gambar]


Apa pulak la mamat ni nak merepek?

Sabar wahai kawan dan taulan. Dengar baik-baik ye apa yang saya nak sampaikan. Erm... Maksud saya, baca baik-baik.

Pasti anda semua pernah main permainan yang popular bernama "Dam Haji" kan? Tak? Rasanya yang kata tak tu mungkin baru sahaja nak mengenal dunia kot. :P

Kalau tak tahu, nak cerita la sikit basic pasal dam haji ni. Macam dalam gambar dekat atas tu, yang tu kita panggil papan dam. Kat bawah tu lantai (kot). Cara bermainnya ialah kedua-dua pemain akan menggerakkan buah dam mereka secara menyerong ke hadapan. Aim permainan ni ialah dengan me'makan' semua buah dam lawan lalu kita akan jadi pemenang. Yang menjadi berita gembiranya ialah apabila kita dah sampai di base lawan, kita dapat upgrade buah dam yang biasa menjadi buah dam yang naik haji (begitulah yang dikisahkan). Kenapa perlu naik haji? Apakah tak cukup buah dam yang biasa tu menjalankan tugasnya? Cukup tu memang cukup. Tapi kalau kita lawan dengan budak yang hingusan la. :P. Kalau kita dapat lawan yang sangat bengis dan gangster, adakah kita fikir kita mampu mengalahkan dia dengan mudah? Semudah meludah ke dalam longkang? Dah semestinya tak. Jadi kita akan menggunakan peluang sebaik mungkin untuk naiktarafkan buah dam kita. Supaya apa? Supaya lebih senang nak hadapi lawan kita. Tapi awas! Seribu kali AWAS. Jangan rasa bila kita dah ada Buah Dam Haji (wujud ke term ni?) kita akan confirm menang. Itu mungkin memudahkan lagi kemenangan, tapi ianya tidak menjamin kemenangan. Hakikatnya, kita masih perlu berwaspada dan berhati-hati dalam memikirkan langkah seterusnya yang kita ingin lakukan. Takut takut Buah Dam Haji tu menjadi mangsa akibat kecuaian kita kerana terlalu gembira menyambut gelaran hajinya sampai kita terperangkap dalam jerat musuh.

Jadi apa yang saya ingin relatekan Teori Dam Haji ni kepada kita semua? Sebenarnya ini adalah ilham dari Allah jua yang diinspirasikan daripada perlantikan Dr Morsi (trust him, he's an engineer) dan juga sebuah permainan dam yang saya baru saksikan dengan mata saya sendiri (ceh, dam je pun). Hei, dunia ni boleh jadi sangat menarik kalau kita boleh kaitkan hidup kita walaupun dengan benda yang sekecil-kecil alam sampailah sebesar-besar zarah.

Hakikatnya, dalam hidup ni kita sentiasa berjuang. Berjuang melawan kebatilan, melawan kejahatan, melawan jahiliyyah. Dalam melayari bahtera perjuangan ni, kita perlu mendidik diri kita supaya sentiasa dalam keadaan yang tenang dan sabar. Jangan cepat melenting, nanti orang keliling jadi pening. Apabila kita nampak something tu nampak macam sebuah kemenangan, fikir balik. Adakah itu adalah kemenangan yang sejati? Adakah tugas kita dah selesai jadi boleh pulang ke asrama masing-masing? Tidak. Sama sekali tidak. Malah saya ingin mengajak anda-anda semua supaya fikirkan bahawa kemenangan itu hanyalah menjadi titik tolak bagi suatu permulaan yang baru. Maksudnya setelah kita menang terhadap sesuatu, kita perlu tahu bahawa akan ada cabaran baru yang menanti kita di masa hadapan. Suka sekali saya kaitkan tentang kebangkitan Islam di Mesir. Daripada situ, kita nampak macam kegemilangan Islam tu makin nak tertegak sedikit demi sedikit. Tapi persoalannya, adakah kita hanya mahu duduk goyang perut seperti pemain dam sebentar tadi yang begitu selesa dengan Buah Dam Haji dia? Padahal bila dia menang permainan itu sekalipun, pastinya ada orang lain pula yang akan cabar dia. Lepas tu ada lagi, lepas tu lagi, lepas tu, tu, tu, tu, tu... (ulang sampai anda rasa bosan). Ya, apabila kita menang, sebenarnya kita patut perkemaskan lagi gerak kerja kita, usah lalai dan leka. Kerana ada lagi cabaran baru yang mungkin lebih hebat lagi. Bila kita cuai, kelak mengundang padah. Cuba bayangkan, kalau umat Islam ni memang cepat sangat berpuas hati dengan pencapaian mereka, dah tentu dakwah Rasulullah akan stop hanya di sekitar Tanah Arab sahaja. Tidakkah kita memikirkannya?

Jadi, teruskanlah gerakmu. Usah membeku. Sesungguhnya, objek yang pegun tu akan menyebabkan tiada daya yang dapat dihasilkan. Tak ada kuasa (force). Begitulah menurut Hukum Newton yang berbunyi F=ma.



Jun 26, 2012

Jahiliyyah Itu Umpama Tahi. Ewww!



Ya. Tajuk yang sangat menjijikkan. Harap-harap isinya tidak jadi jijik juga. Uhuk.

Disclaimer : Tolong sangat-sangat supaya jangan makan sambil membaca post ini. Kalau tengah makan, habiskan dulu. Penulis tak nak hadapi risiko pembaca hilang selera makan selama sebulan.

Nasib baik ada gambar tahi yang kurang menjijikkan.
Cuba check kat Tok Google, saya jamin anda
boleh sakit perut sampai seminggu. [Gambar]

Ok, saya ingin mulakan cerita tentang tahi. Badan kita secara fitrahnya tidak akan menerima tahi ini untuk menginap dalam badan kita dalam tempoh yang lama. Jadi, selagi kita menahannya daripada keluar, of course la akan rasa tak selesa yang amat sangat. kita akan terlompat-lompat, meronta-ronta, menderita kerana tandas yang dicari-cari itu dirasakan macam berbatu-batu jauhnya. Walaupun mungkin pada hakikatnya, jaraknya hanyalah seperti ruang tamu dan dapur sahaja. Begitu hebat hiperbolanya apabila kita bercerita tentang tahi.

Apabila tahi yang tidak diingini itu dilepaskan, dah tentunya kita akan rasa, ya, perasaan lega gila kentang yang tak dapat dicapai dek akal dan diluahkan dek mulut.

Yargh!! Akhirnya dapat buang. [Gambar]

Habis cerita tentang tahi. Kita beralih ke jahiliyyah yang menjadi fokus kita kali ini. Gembira sekali saya ingin merumuskan sedikit tentang persamaan tahi dan jahiliyyah.

"Jahiliyyah itu umpama tahi. Apabila kita menahannya, kita rasa sangat tak selesa. Apabila kita melepaskannya, terasa lega tak terkira."

Cewah. bajet macam quote siapa je. Padahal quote sendiri. Huhu.

Jahiliyyah umpama racun dalam diri. Selagi kita enggan untuk buangnya, jiwa kita akan rasa tak tenteram. Dan apabila kita berjaya menyisihkannya dari dalam diri kita, insyaAllah kita akan lebih mudah untuk rasai ketenangan yang dicari-cari itu. Untuk buang jahiliyyah itu, kita perlu bermujahadah dan ini memang bukan kerja yang senang. Ini adalah kerja gila! Siapa sanggup membersihkan lagu-lagu yang lagha di dalam mp3 mereka secara total dan memasukkan Al-Quran serta lagu-lagu yang mengingatkan kita kepada Allah serta Hari Akhir? Siapa pula sanggup tinggalkan drama Korea yang lagha atau komik-komik lagha yang membuatkan mereka begitu ketagih? (sila take note. lagha. saya masih optimis bahawa ada drama dan komik yang baik-baik di luar sana tu.) Sedar tak sedar, itu semua umpama tahi yang kita belum keluarkan dari dalam diri kita walaupun kita tahu yang benda-benda itu sangat merosakkan diri dan perlu dibuang serta-merta atau keadaan boleh jadi lebih teruk.

Tapi ingatlah, kemanisan yang kita bakal peroleh apabila mampu melawan hawa nafsu kita untuk meninggalkan jahiliyyah itu. Bayangkan betapa leganya apabila kita melepaskan semua itu. Bila dapat lepaskan semua yang membawa kita kepada kecintaan kepada dunia. Ya. Kebanyakan jahiliyyah itu sebenarnya mendidik kita untuk cintakan dunia ni. Bukan ke "Cinta Dunia" itu sebenarnya satu penyakit yang sangat kronik yang boleh menyebabkan kita tak sibuk mempersiapkan diri kita menghadapi mati? Jadi, bersemangatlah untuk melakukan kerja yang gila ini. Banyakkan baca dan memahami Al-Quran, baca bahan-bahan ilmiah, berdamping dengan sahabat-sahabat yang gempak lagi beriman, dan macam-macam lagi perkara yang kita boleh buat untuk mengubati kesakitan ini.

Akhir kata, marilah kita buang 'tahi-tahi jahiliyyah' dari dalam diri kita. Majulah ke hadapan hingga apabila kita menoleh, kita boleh cakap pada diri kita,

"Takkan aku nak makan balik 'tahi' tu?"


Jun 25, 2012

Naruto - Kejahatan Itu Ada Permulaan



Pernah baca cerita Naruto? Erm.. Tengok? Dengar? Semuanya tak? Wah, ini gila! Anda hidup di zaman bilakah? Wahahaha... (erm. kalau betul tak tahu, boleh check dengan tok google)

Ehem. Dulu saya ni pencinta komik dan manga. Agak banyak la komik dan manga yang saya pernah baca. Dan kebanyakannya kemungkinan yang melalaikan dan hanya sekadar untuk gelak tawa (biasalah, zaman jahiliyyah dulu). Tapi tak kurang juga ada komik yang mengajar erti kehidupan pada saya dan mengubah cara saya melihat dunia ini. Dan saya sangat berharap agar ada jiwa-jiwa yang beriman di luar sana yang gemar melukis komik agar menghasilkan komik-komik yang gempak dan menaikkan semangat serta membuatkan masyarakat kembali dahagakan Islam dalam diri mereka. Blogger yang berdakwah dah ramai, novelis yang berdakwah pun ramai. Sekarang nak tunggu penghasil komik yang berdakwah pula, insyaAllah.

Wekk~ [Gambar]
Ok, back to the topic. Sebenarnya saya masih lagi ikut perkembangan kisah Naruto ni dan mungkin akan stop baca manga hanya apabila siri Naruto ini habis. Mungkin. Antara perkara menarik yang saya dapat tangkap hasil pembacaan cerita Naruto ialah setiap orang jahat dalam cerita tu, mesti ada titik tolak sebab kenapa dia jadi jahat. Dia tak lahir terus jadi jahat. Pasti ade permulaan atas setiap perkara jahat yang dilakukan. Dan kisah silam mereka juga diketahui apabila berlaku sedikit borak-borak antarawatak. Kiranya macam nak cerita la macam mana mereka ni boleh jadi jahat.

Selalunya, apabila Naruto berlawan dengan 'orang jahat', dia akan banyak berinteraksi dengan mereka dan pada masa yang sama cuba berdakwah (dakwah = ajak) kepada mereka untuk kembali menjadi baik. Kadang-kadang, walaupun dia tak ajak secara direct, tapi sikap yang dia tunjukkan membuatkan lawannya hormat pada dia. Itu juga mengubah mereka ke arah kebaikan. Yang baca cerita tu tahu la watak-watak yang dah 'insaf' tu. Huhu.

Jadi, nak tekankan kat sini. Setiap orang daripada kita mempunyai background yang berbeza-beza. Cuma, masalah kita ialah apabila nampak seseorang itu 'jahat semacam', kita lebih suka menilai orang itu  berdasarkan diri dia waktu tu, tapi tak berusaha untuk ketahui dengan lebih mendalam, kenapa dia jadi macam tu? Setiap perkara jahat yang seseorang itu lakukan, pastinya ada sebabnya dia buat begitu, jika kita selami kisah silamnya. Apabila kita dengan sewenangnya menilai orang itu tanpa mengenalinya terlebih dahulu, seeloknya kita stop dan berfikir sejenak. Cuba fikir yang positif bahawa sejahat mana dan seteruk mana pun orang tersebut, pastinya ada sesuatu yang boleh membuatkan dia 'insaf'. Ada seorang brader ni dia percaya bahawa setiap hati itu ada kuncinya masing-masing. Kunci inilah yang kita perlu cari untuk membuka hatinya kepada kebenaran. Saya juga turut percaya pada benda yang sama. Jadi, salah satu cara untuk mencari kunci itu ialah mengetahui bentuk kunci yang diperlukan untuk membuka hati tersebut. Nak tahu bentuk kunci tu, kena la selami dulu hati tersebut. Kemudian mungkin kita dapat figure out kunci tersebut.

Nak buka pintu hati, perlu ade kunci [Gambar]

Jadi, sahabatku. Ketahuilah yang sejahat mana pun seseorang itu, dia pernah menjadi bayi seperti kita. Oleh itu, marilah kita sama-sama cari jalan untuk membawa kembali hati bayi dalam diri mereka.

Kenapa bayi? Bukankah bayi itu hatinya suci... =D

Huh? Saya ke? [Gambar]



Jun 20, 2012

Ini Kerja Gila?



Wah! Tak sangka pulak blog ni akan diberikan nama pulak. InsyaAllah nama ni akan dikekalkan, even lepas kawin pun (nak menulis lagi ke lepas kawin?).

Kenapa dengan kerja gila? Apa yang kita faham dengan kerja gila?

Inikah kerja gila yang anda maksudkan?
[Gambar]
Kerja gila yang saya rasa masyarakat faham ialah kerja yang dilakukan di luar norma masyarakat umum kerana benda yang dilakukan itu selalunya tak tercapai dek akal mereka. Contohnya, membina pondok kayu di tengah-tengah puncak everest, ataupun chatting di dasar laut selama sehari. Wah, bukankah itu menunjukkan satu kegilaan tahap maksima?

Namun, itu semua adalah pandangan masyarakat umum. Pada mereka, mungkin perkara itu sangat tidak relevan untuk dilakukan dan merugikan diri mereka. Ataupun mungkin mereka pun ingin lakukannya, tetapi kerana risiko yang sangat besar dan memerlukan pengorbanan yang maha berat, mereka segera melupakan niat murni mereka untuk melaksanakan sesuatu yang dianggap 'gila' itu.

Begitu juga dakwah. Ya! Begitu juga dakwah. Awal-awal nabi membawa Islam dan kepercayaan tauhid ini, ada orang arab quraisy yang melabelkan baginda sebagai 'gila'. Ya, ini gila! Semulia-mulia nabi dan orang yang dipercayai kejujurannya 100% pun boleh dilabel sebagai 'gila'! Apatah lagi kita sebagai orang biasa. Jap, cuba kita bayangkan kejap macam mana rupa orang gila yang betul-betul gila, kemudian kita bayangkan tuduhan gila itu dilemparkan pada kita yang waras dan berfikiran bernas ni. Bukan tuduhan dari hanya seorang, tetapi satu kumpulan masyarakat. Maksudnya, kita ni adalah orang gila yang femes (bukan gila femes ok). Apa rasanya? Tentu sangat tertekan bukan? Namun itulah antara cabaran yang nabi kita lalui dengan jiwa yang kentalnya.

"Dengan kurnia Tuhanmu, Engkau (Muhammad)
bukanlah seorang yang gila"
Al-Qalam : 2

Begitulah Allah sangat mengasihi hambaNya yang agung ini dengan menafikan tuduhan-tuduhan liar oleh mereka yang menuduh. Ayat-ayat kemudiannya juga mengukuhkan lagi kenyataan bahawa nabi kita tak gila dan disuruh perhati pulak siapa yang gila sebetulnya. Maka kat sini, tak ke kita belajar bahawa kita dah melaksanakan tanggungjawab dakwah tu dengan sebenar-benarnya adalah apabila orang melabel kita sebagai gila? Jadi kawan-kawan, marilah berdakwah sampai jadi 'gila' di mata masyarakat. Huhu. Bergurau. Sebenarnya antara kelebihan belajar sirah ni ialah kita dapat menguatkan semangat kita untuk terus berada di jalan Allah ini. Kerana sirah dah tunjuk yang ada orang yang memang real menghidupkan Islam dalam diri mereka dan sekeliling mereka. Maksud saya, sedangkan cerita-cerita superhero yang bukan main kuat lagi tu boleh bagi inspirasi dalam hidup kita, apatah lagi hero yang benar-benar wujud. Hero of the mankind bro!

Sekarang beralih ke Malaysia.
Waktu dulu-dulu dekat Malaysia ni, lepas negara kita dah lama sangat dijajah, bila Islam dah dicarik-carikkan dari jiwa rakyat-rakyat kita, lepas negara baru je melalui fasa merdeka, (ceh, cakap macam dah hidup lama sangat), aktiviti dakwah ini sangat asing bagi rakyat Malaysia. Seolah-olah aktivis dakwah ini berdakwah kepada orang yang tak tahu langsung apa itu Islam, padahal mereka itu muslim, atau lebih tepat lagi kita panggil "so-called-muslim". Iya. Muslim pada nama. Dulu dan sekarang. Masih ramai yang ada status "so-called-muslim" pada diri mereka. Inilah kesan penjajahan oleh mereka yang bencikan Islam. Kita tak boleh salahkan mereka yang dijajah ini kerana menjadi jahil tentang Islam.


[Gambar]

Bukan ke Allah bagi kita kefahaman dan kesedaran pasal Islam supaya kita dapat laksanakan tanggungjawab untuk berdakwah kepada mereka ini? Untuk selamatkan mereka yang terkandas dari landasan sebenar kehidupan. Tak ke rasa macam "gifted" gitu? So, takkan nak simpan Islam untuk kita sorang je. Percayalah wahai anda, keindahan Islam tu akan lebih merebak dan mengembang dalam diri kita kalau kita laksanakan tanggungjawab dakwah ni. Waktu zaman toknek dan ayah kita, mungkin kerja ini nampak macam kerja gila, ataupun kerja orang gila. Tapi berkat usaha mereka, sekarang kita makin nampak yang dakwah itu makin berkembang dan makin diterima. Antaranya ialah ustaz-ustaz yang dijadikan icon dan media-media yang menyebarkan risalah islam makin tumbuh dengan mekar. Namun begitu, masih ada lagi yang menganggap kerja ini adalah kerja gila. Itu tak apa. Kalau kita ikhlas, tak ada masa kita nak merungut. Dan kalau kita selusuri kisah nabi kita, percayalah yang nabi dapat lagi bertubi-tubi dari tu.

Dakwah ini bukan kerja gila.
Ini adalah kerja yang mulia.
Bermula dari dalam diri kita.
Sebarkan ke seluruh alam maya. Eh, buana...

Mari berdakwah. Saya ajak diri saya dan anda. Saya pun baru nak berjinak-jinak ni. Bukan ke kita nak Islam tertegak semula dan kita semua bersorak keriangan? Jadi takkan kita masih nak goyang perut?

Dakwah itu mengajak. Bukan memaksa.



Mari...




Jun 6, 2012

Cashier Ribena atau Oren?




Eh, sedar tak sedar, blog ni dah jadi blog dakwah rupanya. Huhuhu...
Ingatkan nak jadikan blog ni more towards kisah-kisah hidup ini. (akan diusahakan sikit ke arah tu)
Tapi takpela. Kata orang (siapa tu?), alang-alang terlepaskan roket, terbanglah melepasi awan.

Jadi, anda-anda yang saya kasihi, doakan la saya (tiba-tiba guna saya?) melekat pada jalan dakwah dan tarbiyyah ini.
Jap, sebelum anda jadi gila kentang, izinkan dakwah memperkenalkan maksud nama dia dahulu.
Kalau ikut Syeikh Wiki, Dakwah tu secara literal, maksudnya "making an invitation". Jemputan pada apa? Kepada Islam of course.

Jadi, kita masuk pada poin kita. Kalau nak ajak kepada sesuatu, patut ke kita mula dengan mencaci maki, hina dan mengeluarkan kata-kata yang tidak menyenangkan badan? Tak pun, mengugut-ugut dan memberi amaran. Kita rasa orang nak terima ke ajakan macam tu dengan rela hati? Mesti ada rasa kurang senang walaupun mereka kenal si pengajak tu.

Siapa tak cair dengan senyuman ikhlas macam ni.
Tak perlu buat muka masam macam oren. [Gambar]
Hari tu (bila pulak ni?), saya pergi ke satu kedai ni. Beli-beli barang, sampai kat cashier, dia sambut dengan gaya yang sangatlah ribena macam kanak-kanak girang. Jadi, apa lagi. Memang sejuk tahap gaban la hati jadi waktu tu. Dengan keramahan dia, sebenarnya satu perasaan senang dah tercipta. Bila dah ada perasaan senang, mesti hati akan rasa tertarik untuk berkunjung di kedai yang sama. Taknak singgah di kedai sebelah yang walaupun nampak mewah tapi ada pekedai bermuka masam dan tak mesra alam.

Sebenarnya, kita orang islam pun boleh diibarat macam cashier/promoter. Kalau baik layanan kita kepada orang yang datang nak tahu pasal produk kita, mestila diorang akan lebih mudah nak terima tawaran kita untuk 'membeli' islam dengan harta dan jiwa mereka. Bayangkan, bagus mana pun produk kita, tapi bila ada pelanggan datang dan kita layan mereka dengan layanan kelas ke-lima, memang sorry to say la.

Ambillah masa untuk buat sesuatu dengan betul.
Bukan main bedal je. [Gambar]
Ni masalah kebanyakan dari kita. Mengajak orang dengan cara yang kasar. Tak beretika. Akhirnya, kebenaran yang penuh dengan cahaya itu, dimalapkan dengan akhlak kita yang tak seberapa. Kita selalu fikirkan jalan mudah. Melenting. Menghamburkan hukum hakam. Dan kita fikir yang dakwah kita dah tersampai. Sebenarnya, kita tahu hukum hakam tu dah bagus dah. Tapi, macam mana kita nak dekati mereka? Itulah yang menjadikan dakwah itu seni. Untuk orang ni, kita approach cara ni, orang tu kita approach cara tu. Doing it the right way requires effort and patience.
Kita mesti kenali sasaran orang yang kita nak dakwah. Lepas tu, buat satu rangka kerja untuk dekati mereka. Erm, nak effect serta merta? Eh, Nabi Nuh pun tak merungut walaupun dakwahnya selama hampir 950 tahun tak diterima orang ramai. Kita ni selalu nak jalan mudah dan ringkas kan? Uhuk3. Batuk kering.

Wahai anda. Saya nak ajak ni. Jom ubah cara kita berdakwah. Ikut style Rasulullah. Cara yang berakhlak. Selami sirah baginda. Belajar macam mana nak handle orang ni dan orang tu. Bukan ke ramai orang berlembut hati terima Islam bila lihat akhlak nabi dan merasai keindahan ayat Al-Quran?

JOM!

Jadi macam cashier ribena. Huhuhu...


Jun 3, 2012

Kita cari yang jauh, yang dekat jadi jauh



Kadang-kala, kita seronok apabila bersama 'yang jauh'. Tapi, dalam masa yang sama, kita tak nampak bahawa 'yang dekat' dahagakan sesuatu dari kita. Ya, tapi kita tak nampak. Kita lebih nampak mereka yang jauh. Untuk mengisi kekosongan hati kita.

Kadang-kadang, ada antara kita yang mencari-cari orang yang hebat (selain ibu bapa) untuk mereka ikuti. Mereka sangat hormat dan tabik dengan orang tersebut. Tapi, dalam masa yang sama, mereka tidak menghormati ibu bapa mereka. Kerana mereka lihat yang orang-orang hebat yang tadi yang lebih banyak membimbing kehidupan mereka menjadi lebih baik. Makin lama, kita makin lupa, siapa yang memakaikan lampin untuk kita, siapa yang lap hingus kita yang hampir meleleh ke lantai, dan siapa pula yang memandikan kita bila bau badan kita satu rumah boleh hidu. Kita lupa semua itu. Kerana pandangan kita tertumpu kepada mereka yang lebih 'hebat'.

Bukankah kebahagiaan diri kita tu patutnya bermula dengan famili kita? Selalunya kita cakap, macam-macam dah kita buat. Kita solat, kita ikut tips orang berjaya, kita zikir, main-main dekat taman, mandi sungai, terjun gaung (?), dan macam-macam lagi. Tapi, kenapa kita lupa benda yang sangat penting; kita dah buat sesuatu yang boleh eratkan hubungan kita dengan keluarga ke belum? Dengan Mak dan Ayah kita especially.

"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa."
An-Nisa’ : 36

Usah lagi menyepi dari keluarga kita. Dekatilah dan
selami apa yang ada dalam fikiran mereka. [Gambar]
Ada lagi dua ayat yang mempunyai struktur sama seperti ayat yang tertera di atas screen anda ni, yang mana tuntutan pertama ialah supaya kita tak syirikkan Allah, kemudian terus perintahkan kita untuk berbuat baik dengan kedua ibu bapa kita. (Lihat huraian di sini). Yang mana kadang-kadang orang yang 'baik' ni pun terlepas pandang. Kat medan dakwah, punyalah bercakap itu ini sampai basi dah air liur, tapi hubungan dengan keluarga, dengan sepupu sepapat? Hmm... *Air mata bercurah ke ladang gandum*. Jadi, kepada orang-orang yang masih lagi tertanya-tanya kenapa kita ni masih tak bahagia walaupun dah buat macam-macam untuk Islam, atau kalau tak pun, dah buat pelbagai aktiviti untuk menggembirakan hati kita; cuba check balik hubungan kita dengan keluarga dan juga orang ramai. Pupuklah hubungan baik dengan keluarga, banyakkan beraktiviti dengan masyarakat (ni pesanan direct untuk diri sendiri). InsyaAllah, kualiti hidup kita akan jadi lagi baik.

Imam Suhaib Webb pernah cerita yang dia berjumpa dengan sorang syeikh. Dia cakap dekat syeikh tu, "Saya susah nak menghafal Al-Quran", kemudian yang menariknya, perkara pertama yang syeikh tu cakap dekat Imam Suhaib ialah "Macam mana kamu layan emak kamu?". Imam Suhaib kemudian balik kepada ibunya dan memperbaiki layanan terhadap ibunya dan ternyata hasilnya amat menakjubkan. Dia kembali kepada syeikh tu dan berkata "Ya syeikh, ianya berkesan! Sebab tu la anda adalah syeikh...", jap, lagi best kalau translate BI kot. Dan lagi best tengok dia bercerita pasal tu. Huhu. Anyway, dia cakap dekat syeikh tu, "Syeikh, that works! That's why you're the syeikh man!" syeikh tu pun reply, "and that's why you're not!". Hahaha...

Okay. Jadi, konklusinya, marilah layan emak dan ayah kita sebaiknya. Tak kisah la apa pun kekurangan mereka. Tak cukup ke kita menghargai mereka hanya kerana mereka menjadi emak dan ayah kita? Mari-mari, gembirakan hati mereka. Tunjukkan yang kita sayangkan mereka. Through words and actions.

Kepada Ummi dan Abah, Uda sayang anda berdua. Maafkan salah silap Uda sama ada yang disengajakan atau yang tak disengajakan. Yang Ummi Abah ingat ataupun dah lupa...

Jun 1, 2012

Mahu Tapi Tak Mampu?



Awal-awal dah disebut yang tidak ada keraguan
dalam kitab suci ini. [Gambar]
Ahah! Kita bersua lagi. Aritu kata nak bincang macam mana nak berubah kan? Solution dia senang je. Al-Quran. (Muka berwawasan). Sebelum tu, kita kena yakin dengan ayat 2:2 yang Allah dah sebut awal-awal yang tidak ada keraguan dalam Al-Quran ini. Jadi, mari kita rujuk kepada beberapa ayat yang gempak.

“...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka... ”
Ar-Ra'd : 11

Betul. Selalunya pakar-pakar motivasi juga akan cakap benda yang sejajar dengan ayat di atas.
"Saya hanya boleh bagi kata-kata nasihat dan dorongan sahaja. Tak guna saya cakap banyak pun kalau anda sendiri tak ada niat untuk berubah. Perubahan tu bermula dari diri anda sendiri. Yang boleh mengubah diri anda adalah diri anda sendiri." Begitulah kata-kata kaunselor dalam melakukan "brainwash" kepada kliennya.

Silapnya kita bila kita keluarkan statement "Allah dah tetapkan aku jadi macam ni. So, tak boleh buat apa dah bro. Dah aku memang macam ni." Mungkin dia sebenarnya mahu tapi rasa tak mampu. Jadi, kita boleh applikasikan ayat di bawah ini.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..”
Al-Baqarah :286

Ini satu benda yang kita selalu terlepas pandang. Kita cakap yang kita tak boleh buat sesuatu tu padahal Allah dah bagi kita kata-kata perangsang dalam ayat-ayat cinta-Nya. Kalau kita tengok cerita-cerita yang inspiring, kita boleh lihat yang kata-kata semangat yang diberikan dekat watak utama selalunya hanyalah,

Keratlah perkataan impossible dalam minda kita.
Jadikan ia possible. Yeah!!! [Gambar]
"You can do it! We believe in you!"

Lepas tu watak utama kembali bersemangat dan berkata kepada dirinya,

"That's right! I can do this!"

Ianya hanyalah permainan dalam minda kita. Kita akan menang apabila kita berjaya menghilangkan rasa was-was terhadap diri kita. Yakinlah pada diri kita. Kita boleh berubah kalau kita sendiri yang mahukan perubahan tu. Tak ada istilah tak mampu. Tak ada istilah itu dalam melakukan perubahan pada sikap diri kita.

Bila kita berubah itu, kadangkala kita akan rasa berat dan susah pada awalnya. Tapi tidakkah kita ingat ayatNya macam di bawah ini?

“Maka sesungguhnya selepas kesulitan itu ada kemudahan,
sesungguhnya selepas kesulitan itu ada kemudahan.”
Al-Insyirah: 5-6

Setuju tak? [Gambar]
Ya. Ayat itu memang diulang kerana kita kadang-kadang tak percaya dengan statement itu apabila kita rasa yang kesusahan itu rasa lama sangat. Tapi Allah tidak akan memungkiri janjinya. Dalam ayat di atas pun diulang dua kali untuk memberi keyakinan kepada kita. Eh, bukan ke kemudahan di alam sana pun adalah kemudahan? Jadi, apa salahnya kita bersusah-susah di dunia, supaya kita dapat bersenang-senang di akhirat. (muka memujuk)

Iya. Perubahan itu terletak di tangan anda. Bak kata Encik Celcom, "The power is in your hands".
Sebenarnya banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang boleh dikaitkan untuk mencari jalan untuk kita berubah ke arah lebih baik. Di atas hanyalah sedikit sahaja dari apa yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan kita. Kalau kita betul-betul nak berubah, pastinya kita akan bersungguh-sungguh mencari jawapannya, ye tak? (Eh, anda! Cuba baca ni jugak. Harap-harap membantu, insyaAllah.)

Allah dah bagi kita banyak jawapan. Tinggal kita saja yang memilih. Nak ikut jawapan itu ataupun tidak?
Jawapan ada dalam diri kita sendiri.
Nak... atau tak?